Kim Pan-gon tekad ‘all-out’, enggan Selangor FC sekadar bertahan di Vietnam

163

Tekanan memuncak buat gergasi Liga Super Malaysia, Selangor FC, apabila mereka dijadualkan bertandang ke Stadium Thiên Truong pada Rabu ini bagi aksi timbal balik kedua separuh akhir Shopee Cup. 

Meskipun membawa bekalan tipis 2-1, ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, menegaskan bahawa pasukannya tidak akan sesekali bermain secara defensif.


Dipetik dari ASEAN UTD, Kim Pan-gon sedar akan kehebatan Nam Dịnh FC di laman sendiri. 

“Kami tidak boleh berasa selesa. Nam Định sangat kuat di tempat sendiri, tetapi mereka juga perlu tahu bahawa kami mempunyai barisan penyerang yang mampu menggegarkan gawang mereka,” tegas bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Selangor kini bergantung harap kepada ketajaman Chrigor Moraes, wira dua gol pada aksi pertama, untuk merobek pertahanan juara V.League 1 tersebut. 

Bgaimanapun, mereka perlu berwaspada dengan ancaman penjaring terbanyak kejohanan, Nguyen Xuan Son, yang pastinya mahu menebus kehampaan selepas dirantai kemas barisan pertahanan Selangor minggu lalu.

Dalam pada itu, satu lagi aksi separuh akhir, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan tugas berat untuk memadamkan kelebihan 3-1 milik Buriram United FC. 

Meskipun JDT baru sahaja mencipta rekod dunia dengan 108 perlawanan liga tanpa kalah, cabaran di Stadium Chang pastinya berbeza.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz, tetap optimis: “Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan bekerja keras. Kami akan ke sana untuk melakukan yang lebih baik.” Kepulangan peledak berbisa, Bérgson da Silva, yang baru sahaja meledak enam gol dalam aksi domestik Ahad lalu, dijangka menjadi senjata utama Harimau Selatan untuk mencipta kebangkitan dramatik.

Pemenang bagi kedua-dua aksi ini akan mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Shopee Cup yang dijadualkan berlangsung secara timbal balik pada 20 dan 27 Mei ini.