Rombakan besar-besaran UiTM FC jamin ‘survival’ dalam Liga Malaysia
Selepas pelbagai masalah yang melanda pasukan UiTM FC sehingga hampir menyebabkan mereka menarik diri dari saingan Liga Perdana pada musim ini, kelab bertaraf universiti ini telah melakukan rombakan besar-besaran untuk memastikan survival pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) UiTM FC iaitu Ahmad Tarmizy Mohammed, rombakan yang dilakukan mereka merangkumi menggantikan 80 peratus pengurusan lama dengan yang baru termasuk Lembaga Pengarah.
“Ada yang masih dikekalkan tetapi 80 peratus dirombak termasuk Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan sebagainya demi memastikan UiTM FC menuju ke arah lebih profesional.
Kita perlu memikirkan kesinambungan pasukan untuk musim-musim akan datang bagi memastikan pasukan ini kekal dalam saingan Liga Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, demi memastikan perancangan mereka dapat dijayakan, mereka juga telah merangka satu pelan perniagaan yang baik untuk memastikan mereka mampu menjana pendapatan pasukan.
“Kami ketika ini sudah mempunyai beberapa pihak penaja yang berminat untuk menaja UiTM pada musim ini yang mana ia di peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian itu. InsyaAllah dalam masa terdekat ini kami akan umumkan kerana ketika ini kami fokus untuk menguruskan hal-hal dalaman terlebih dahulu.”
Ditanya mengenai isu mendapat dana daripada UiTM berjumlah RM3.7 juta bagi memastikan mereka dapat bersaing di Liga Perdana, Tarmizy mengakui mereka pada mulanya sudah dalam perbincangan untuk seorang usahawan mengambil alih pemilikan kelab itu, namun malangnya terdapat isu yang menyebabkan ia tidak menjadi kenyataan.
“Mengikut peraturan lesen kelab pada 2023 memang kita tidak boleh terima dana dari agensi kerajaan, sebab itu pada tahun ini sepatutnya pasukan ini sudah diswastakan, malangnya terdapat beberapa perkara yang kami dan pihak usahawan (pembeli) tidak dapat mencapai kata sepakat menyebabkan proses penukaran hak milik terganggu.
Kami berterima kasih apabila pihak UiTM membantu kami pada musim ini. Pada tahun ini kami akan bekerja lebih keras lagi untuk memastikan UiTM FC akan diswastakan sepenuhnya menjelang hujung musim ini.”
Dalam pada itu, pasukan yang diberi gelaran The Lions Troops telah kehilangan lebih separuh pemain dan barisan kejurulatihan pada musim lalu telah kembali dengan visi dan misi asal mereka iaitu menggunakan seratus peratus pemain tempatan yang juga merupakan pelajar universiti.
Selain skuad utama yang akan bersaing dalam Liga Perdana, UiTM FC turut mempunyai dua skuad lagi iaitu skuad B-19 dan skuad Piala Presiden.
UiTM FC akan membuka tirai saingan pada Jumaat (4 Mac) menentang gergasi dari Pantai Timur iaitu Terengganu FC II.