Malam yang penuh keajaiban! Kejayaan ini hasil kerja keras seluruh pasukan – Chrigor
Penyerang berbisa dari Brazil, Chrigor Moraes, sekali lagi memamerkan ketajaman luar biasa selepas meledak dua gol untuk membantu Selangor FC menewaskan Nam Dịnh FC 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua kelmarin.
Kemenangan di Stadium Thien Truong itu menyaksikan Gergasi Merah mara ke perlawanan akhir Shopee Cup dengan agregat meyakinkan 4-1.
Chrigor, yang menyifatkan malam tersebut sebagai “malam yang penuh keajaiban,” menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil kerja keras seluruh pasukan dalam setiap sesi latihan.
“Saya sangat gembira dengan dua gol ini, tetapi yang lebih penting adalah kita ke final. Kami layak berada di sini kerana kami bekerja sangat keras dan mengharungi banyak perlawanan,” ujar Chrigor yang dipetik dari ASEAN United.
Selangor FC yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan ini bakal berdepan juara bertahan, Buriram United FC, dalam aksi final timbal balik yang dijadualkan pada 20 Mei dan 27 Mei depan.
Menjelang aksi penentuan tersebut, Chrigor sempat menitipkan pesanan buat penyokong setia Gergasi Merah.
“Terima kasih atas segala-galanya. Kami mengharapkan Stadium MBPJ akan penuh dengan sorakan peminat untuk perlawanan akhir nanti.”