MPL MY Musim Ke-17 bukan lagi “Liga Tani”
Musim ke-17 MPL MY hadir dengan wajah baharu apabila diperkenalkan sistem Partnership Program yang dilihat membawa banyak impak positif kepada ekosistem esports negara.
Bukan sahaja dari sudut profesionalisme liga, malah persaingan musim ini juga jauh lebih kompetitif berbanding musim-musim sebelum ini.
Jika dahulu MPL MY sering dilabel sebagai “liga tani” kerana hanya didominasi oleh satu pasukan, musim ini situasinya sangat berbeza.
Persaingan lebih terbuka dan sengit apabila sehingga minggu terakhir regular season, masih belum dapat dipastikan pasukan mana yang akan mengesahkan slot ke playoff mahupun upper bracket.
Kehadiran lima pendatang baharu seperti AC Esports, Bigetron MY, Invictus Gaming, RRQ Tora dan Team Flash jelas menambah warna serta meningkatkan tahap persaingan liga.
Dalam masa sama, Partnership Program ini turut membuka mata banyak pihak luar untuk melabur dalam industri e-sukan Malaysia.
Kehadiran organisasi antarabangsa dan pelabur luar secara tidak langsung membantu meningkatkan FDI (Foreign Direct Investment) serta mematangkan lagi ekosistem e-sukan tempatan.
Model partnership ini juga memberikan jaminan slot jangka panjang kepada organisasi bertanding. Perkara ini penting kerana ia mampu menarik lebih ramai penaja dan pelabur untuk terus menyokong pasukan secara stabil dan profesional.
Selain itu, sistem ini turut membuka ruang kepada pasukan untuk memberi fokus kepada pembangunan akar umbi dan akademi bakat muda.
Antara contoh terbaik ialah Vamos yang kini sudah mempunyai akademi sendiri dan berjaya mengetengahkan bakat-bakat muda berpotensi seperti Error 404 dan Zqeef.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa MPL MY kini semakin berkembang ke arah liga yang lebih profesional, kompetitif dan mampan.
Harapannya, masa depan e-sukan Malaysia tidak lagi bergantung kepada Selangor Red Giants Esports semata-mata di pentas dunia, sebaliknya lebih banyak pasukan tempatan mampu bersaing dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.