JDT bakal berdepan gergasi EPL, Chelsea FC!
Landskap bola sepak tanah air bakal menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila syarikat pengurusan sukan terkemuka, TEG Sport, secara rasmi mengumumkan perlawanan bola sepak berprestij tinggi antara kelab gergasi Premier League (EPL), Chelsea FC, menentang juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC (JDT).
Pertembungan epik yang diberi julukan “Lions vs Tigers” ini dijadualkan berlangsung pada Selasa, 11 Ogos 2026, jam 8:00 malam di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri. Stadium bertaraf dunia yang menjadi kebanggaan Harimau Selatan itu dijangka bakal dipenuhi sekitar 34,000 penyokong tempatan dan antarabangsa yang ingin menyaksikan pertembungan dua kuasa besar ini secara dekat.
Perlawanan ini bukan sekadar sebuah aksi pertunjukan biasa, malah membawa kepentingan yang sangat besar bagi agenda kedua-dua buah kelab. Chelsea FC, atau lebih dikenali sebagai The Blues, hadir dengan reputasi besar sebagai juara semasa Piala Dunia Kelab FIFA dan satu-satunya kelab era moden yang pernah memenangi kesemua trofi utama Eropah.
Menariknya, aksi di Johor ini akan menjadi destinasi terakhir bagi siri jelajah pra-musim mereka di bawah kendalian pengurus baharu yang baru dilantik, Xabi Alonso, sebelum memulakan kempen rasmi EPL musim 2026/27.
Kehadiran ini juga amat bermakna buat para peminat tempatan memandangkan ia merupakan kunjungan pertama kelab London tersebut ke Malaysia sejak tahun 2013.
Sementara itu, Johor Darul Ta’zim FC selaku wakil negara membawa reputasi yang tidak kurang hebatnya dalam rantau ini.
Skuad Harimau Selatan memegang rekod dominasi dahsyat menerusi kejayaan menjulang 12 kejuaraan Liga Super berturut-turut serta status gah sebagai bekas juara Piala AFC.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, perlawanan berprofil tinggi ini menjadi peluang keemasan buat JDT untuk menguji tahap kemampuan serta kualiti taktikal mereka menentang kelompok elit Eropah sebelum memulakan saingan sengit dalam kempen AFC Champions League Elite (ACLE) yang akan datang.
Dalam pada itu, keterujaan ini turut dikongsi oleh pihak pengurusan tertinggi kedua-dua pasukan melalui kenyataan rasmi mereka.
Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea FC, Pete Nuttall, menyatakan, “Sukan bola sepak mempunyai kelompok penyokong yang amat bersemangat di rantau ini. Ini merupakan peluang terbaik untuk penyokong kami di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara menyaksikan pasukan beraksi secara dekat menjelang musim baharu.”
Beliau juga menambah bahawa pihak Chelsea sangat gembira dapat menjadikan perlawanan menentang JDT sebagai aksi penutup yang sempurna bagi jelajah pra-musim mereka.
Nada penuh kebanggaan turut disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, yang menyifatkan perlawanan ini sebagai satu pengiktirafan besar.
Menurut beliau, “Perlawanan ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian penting buat kelab kami, malah mencerminkan peningkatan kedudukan JDT dalam arena bola sepak Asia. Stadium Sultan Ibrahim merupakan kubu kami dan pada Ogos nanti, ia akan menjadi pentas kepada satu malam yang pasti sukar dilupakan. Kami menantikan perlawanan ini dan berharap ia akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perlawanan berprofil tinggi pada masa hadapan.”
Beliau turut menjamin bahawa Chelsea akan menikmati layanan terbaik, kemudahan bertaraf dunia, serta keindahan negeri Johor sepanjang berada di sana.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan TEG Sport, Ms. Rachael Carroll, melahirkan rasa teruja mereka dalam menjayakan usaha ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor atas sokongan berterusan serta keizinan untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim.
Mengulas mengenai jangkaan suasana perlawanan nanti, beliau berkata, “Kami sering mendengar mengenai semangat luar biasa peminat bola sepak Malaysia dan kami tidak sabar untuk merasai sendiri suasana penuh meriah pada hari perlawanan nanti.”
Usaha membawa kelab gergasi ini turut mendapat sokongan padu daripada Tatler selaku Rakan Pengalaman Rasmi.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, tiket perlawanan akan mula dijual dalam masa terdekat melalui platform Tickethotline.com.my dan tertakluk kepada caj pemprosesan bagi setiap transaksi.
Peminat yang ingin mendapatkan akses awal boleh mendaftar untuk kuota pra-jualan eksklusif di laman sesawang rasmi TEG Sport.
Sesi jualan pra-zon khusus untuk kelab penyokong Chelsea FC dan JDT akan dibuka pada Khamis, 21 Mei 2026 bermula jam 10:00 pagi, mancala sesi jualan umum pula akan bermula pada keesokan harinya, Jumaat, 22 Mei 2026, tepat jam 12:00 tengah hari.
Jadual Harga Tiket (Chelsea FC lwn JDT):
| Kategori | Harga Asas (MYR) | Jumlah Bayaran Termasuk Caj (MYR) |
| VIP | RM 1,250 | RM 1,254 |
| Kategori A | RM 650 | RM 654 |
| Kategori B | RM 450 | RM 454 |
| Kategori C | RM 250 | RM 254 |
| Kategori D | RM 150 | RM 154 |