Visi ‘membina masa depan lebih baik’ dorong Cahya Mata tawarkan hadiah RM700,000 melalui Piala Cahya Mata 2026

164

Kumpulan Cahya Mata melangkah setapak lagi dalam memperkasakan sukan tanah air dan menyatukan masyarakat menerusi pelancaran Piala Cahya Mata 2026 serta pengenalan skuad berbasikal elit wanita, Team Cahya Mata Cycling Team. 

Majlis pelancaran yang penuh bermakna itu telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, YBhg. Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib. 


Membawa misi besar untuk membina masa depan yang lebih baik, kejohanan bola sepak komuniti ini bakal menjelajah ke kesemua 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menyasarkan penyertaan sekitar 32 hingga 40 pasukan bagi setiap negeri.

Bagi memastikan matlamat mencungkil bakat terpendam tercapai, Piala Cahya Mata 2026 menawarkan jumlah ganjaran yang amat lumayan, iaitu melebihi RM700,000 secara keseluruhan untuk peringkat negeri dan kebangsaan. 

Walau bagaimanapun, Sulaiman menegaskan bahawa kejohanan yang dibuka secara percuma tanpa sebarang yuran pendaftaran ini mengekalkan syarat kelayakan yang sangat ketat demi menjamin keadilan.

“Jika anda seorang pemain pasukan profesional seperti dalam liga, pasukan kebangsaan, atau pasukan negeri, anda tidak layak untuk bermain. Ini bukan platform profesional, ini adalah peluang yang diberikan kepada rakyat Malaysia yang biasa.

Kami mahu memberikan peluang untuk mereka menunjukkan kemampuan mereka, dan untuk pasukan Malaysia sendiri mengenal pasti pemain-pemain yang baik ini, yang mungkin sebelum ini tidak pernah berpeluang untuk menyerlah,”

ujarnya.

Antara pembaharuan drastik yang turut mencuri tumpuan dalam kejohanan kali ini adalah pelaksanaan ujian dadah secara rawak, sebuah langkah luar biasa yang jarang sekali dipraktikkan dalam penganjuran sukan peringkat komuniti. 

Sulaiman berkata Cahya Mata menetapkan ketetapan tegas di mana mana-mana pemain yang didapati positif dadah akan menyebabkan seluruh pasukannya disingkirkan serta-merta yang mana langkah ini sengaja diambil bagi melatih ahli pasukan untuk saling menjaga antara satu sama lain dan memupuk budaya hidup sihat.

“Ujian dadah ini adalah untuk menggalakkan komuniti berhenti daripada terjebak dengan najis dadah. Ia hanya memudaratkan diri anda, dan dalam jangka masa panjang anda akan mengalami kesan sampingan yang akan merosakkan kesihatan.

Jadi, kami prihatin terhadap orang ramai. Pihak kerajaan sedang melakukan apa yang mereka mampu, dan kami, sebagai warga korporat, merasakan bahawa kami juga perlu mencari jalan untuk menyumbang. Mewujudkan komuniti yang cergas juga melibatkan bukan sahaja komuniti yang bersatu padu, tetapi juga amalan tabiat yang sihat.”

Dalam pada itu, mengulas mengenai inspirasi di sebalik penganjuran berskala besar ini, beliau berkongsi bahawa kejohanan yang bermula secara kecil-kecilan oleh kakitangan dalaman pada tahun lalu telah menyentuh hatinya apabila melihat kegembiraan pada wajah para pemain dan keluarga mereka. 

Beliau turut meluahkan kegusaran terhadap suasana masyarakat hari ini yang kelihatan semakin berpecah-belah, mementingkan diri sendiri, kurang berkomunikasi, serta terlalu hanyut dengan gajet.

“Pada dasarnya, kita kini berada dalam masyarakat yang mementingkan diri sendiri, semua orang mahukan ‘saya, saya, saya’. Tiada perpaduan, tiada keinginan untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu, atau berkongsi.

Jadi, kami ingin memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia bahawa tiada perbezaan antara agama, antara kaum, dan antara jantina. Ini bukan politik, ini adalah tentang menggalakkan sokongan keluarga, rakan-rakan, kerja berpasukan, dan perpaduan. Kita telah melupakan nilai-nilai yang telah diinspirasikan oleh Malaysia kepada kita, dan kita sepatutnya menggalakkan perkara itu semula.”

Sementara itu, selain bola sepak, majlis tersebut turut menyaksikan komitmen padu Cahya Mata selama tiga tahun dalam menaja Team Cahya Mata Cycling Team. 

Pasukan berbasikal trek wanita elit ini dibarisi oleh empat pelumba kebangsaan dan diketuai oleh pelumba muda sensasi negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. Cahya Mata komited menyediakan segala kelengkapan, dana latihan, serta bantuan kos untuk menghantar mereka bertanding di luar negara yang menelan belanja yang bukan sedikit.

“Pelumba basikal ini telah bekerja keras, mereka telah berlatih hari demi hari kerana mahu mencapai tahap tertinggi yang mungkin, dan saya mengagumi perkara itu.

Kami percaya di Cahya Mata bahawa jika orang ramai diberikan peluang untuk menyerlah, mengapa tidak kita bantu mereka? Wanita-wanita muda ini sangat memberi inspirasi.

Mereka masih begitu muda, namun mereka telah berusaha dan membuat pencapaian yang melonjak tinggi. Jadi, saya berharap mereka dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Kami berharap untuk melihat keempat-empat mereka ke sana, dan kami sedia memberikan sokongan yang diperlukan.”