Ya, saya akan meneruskan komitmen bersama JDT, 100% – Manuel Hidalgo
Perancang lincah, Manuel Hidalgo menoktahkan segala spekulasi masa depannya dengan mengesahkan kesetiaan penuh untuk kekal bersama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan musim hadapan.
Hidalgo mengesahkan perkara tersebut selepas JDT melakar sejarah tersendiri mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut, menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi final yang cukup sengit.
“Ya, saya akan meneruskan komitmen bersama JDT, 100%,”
ujarnya.
Selain komitmen masa depannya, bintang import itu turut mencuri tumpuan apabila berkongsi impak positif beraksi di pentas tertinggi AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini yang dianggapnya telah banyak mematangkan pasukan.
“Ia sebuah kejohanan yang menakjubkan. Pasukan dan pemain di sana sangat hebat. Saya rasa terdapat banyak perkembangan bagi setiap orang.”
Sementara itu, Hidalgo sempat menzahirkan rasa penghargaan yang mendalam kepada ‘pemain ke-12’ yang sentiasa setia membakar semangat mereka di stadium.
“Terima kasih atas sokongan anda. Hari ini kami dapat mendengar sorakan anda dengan begitu jelas, saya sangat gembira. Kita berjumpa lagi pada musim hadapan!”