6 bulan ‘menderita’ cedera, Arif Aiman bangkit buktikan mentaliti kelas pertama di pentas final!
Pentas final Piala Malaysia bukan sahaja menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan empat musim berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 2-0, malah ia menjadi saksi kebangkitan semula Arif Aiman Hanapi.
Disifatkan sebagai hadiah paling manis selepas hampir enam bulan menyepi akibat kecederaan serius, pemenang gelaran Man of the Match (MOM) ini mengakui tempoh pemulihan tersebut amat menguji jiwanya.
“Alhamdulillah, selepas hampir enam bulan tak beraksi, memang saya bersara (struggle) sangat-sangat untuk kembali. Setiap hari di gim memang bosan, tapi saya kena hadap demi bola sepak,”
ujarnya.
Kembali beraksi dan terus meledak gol dalam perlawanan penting membuktikan kualiti luar biasa yang ada pada dirinya dan apabila ditanya mengenai perasaan apabila melihat bola menerjah jaring, Arif tidak dapat menyembunyikan keterujaannya.
“Teruja… terlalu teruja untuk bermain selepas masa yang panjang. Tiada ketakutan. Saya tak boleh nak gambarkan perasaan saya masa itu, kemudian pasukan pula menang.”
Dalam pada itu, Arif berkata kemenangan ini juga dianggap sebagai ‘hadiah istimewa’ buat dirinya yang bakal memulakan fasa baharu dalam kehidupan peribadinya pada minggu hadapan.
Walaupun Arif sedar ramai peminat risau jika beliau kehilangan momentum serta kelincahan asalnya selepas impak kecederaan panjang.
“Ini sebenarnya adalah mentaliti seorang pemain. Banyak komen cakap selepas kecederaan, saya takkan dapat momentum atau rentak balik. Tak mengapalah, itu pendapat mereka. Tetapi mindset saya, saya sentiasa yakin dengan diri saya yang saya boleh lakukan (bangkit semula).”
Sementara itu, Arif yang ditanya mengenai peluang mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) kebangsaan, beliau bersikap realistik namun tetap optimis untuk masa depan.
“Selepas kecederaan, saya fikir mungkin tahun ini saya takkan menang lagi sebab tak beraksi hampir enam bulan. Mungkin next season saya dapat kekalkan balik, Insya-Allah.”