Ismail Ibrahim tiada masalah latih skuad baru UiTM FC

471

Ketua jurulatih baru pasukan UiTM FC, Ismail Ibrahim berkata beliau tidak berdepan masalah besar dalam mengendalikan lebih separuh pemain muda baru dalam skuadnya pada musim ini.

“Pada saya tiada masalah kerana separuh daripada pemain pernah beraksi bersama pasukan ini jadi itu memudahkan saya untuk membaiki segala kelemahan mereka.

Saya dapat lihat ketika beberapa siri perlawanan persahabatan mereka dapat mengikut segala arahan yang saya beri dan mereka faham kehendak saya, jadi di situ saya tidak nampak langsung terjejas,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun mengakui terbeban apabila terpaksa membina pasukan dari bawah semula, tetapi beliau tidak terlalu bimbang kerana pemain-pemainnya sudah pun mempunyai pengalaman dalam bermain di liga bola sepak sebelum ini.


Pada masa sama Ismail turut menyuarakan keyakinannya terhadap anak buahnya yang akan memberi saingan sengit kepada mana-mana pasukan yang akan menentang mereka.

Dalam pada itu, penjaga gol utama skuad yang diberi jolokan The Lions Troops iaitu Rendy Rining berkata beliau dan rakan sepasukannya akan berikan yang terbaik bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan pasukan lain.

“Semuanya berjalan lancar ketika ini dan kami juga patuh dengan segala taktikal yang direncana oleh jurulatih dan yang paling penting berikan yang terbaik setiap kali turun beraksi.”

Sementara itu, pemain pertahanan Nashran Elias pula berkata mereka sudah bersedia untuk mengharungi saingan Liga Perdana pada musim ini.

“Dari segi persediaan pasukan saya merasakan kami sudah bersedia, malah kami juga tak gentar untuk berdepan mana-mana pasukan besar seperti JDT II.”

UiTM FC akan membuka tirai saingan Liga Perdana pada hari ini menentang Terengganu FC II.