Biarlah kami jadi pemecah ruyung, orang lain kutip sagunya saya tak kisah – Ahmad Azri Zainal Nor

91

Dalam usaha memartabatkan arena sukan negeri Selangor, Yayasan MBI terus melangkah megah sebagai tonggak utama sokongan awal buat atlet-atlet tempatan. 

Melalui Majlis Serahan Sumbangan Atlet Sukan yang berlangsung sebentar tadi, Yayasan MBI membuktikan komitmen jitu dengan menyalurkan dana persediaan sebanyak RM65,000 kepada atlet pelbagai latar belakang sukan, di samping sumbangan kebajikan kemasyarakatan dan pendidikan yang mencecah RM56,000.


Ditemui dalam satu temubual eksklusif, Ketua Yayasan MBI, Encik Ahmad Azri Zainal Nor, berkongsi visi, impian, dan falsafah agensi tersebut dalam memastikan tiada sebutir pun bakat sukan di Selangor yang terbiar atau menyepi akibat kekangan kewangan.

Menurut Ahmad Azri, objektif utama sumbangan ini diberikan adalah untuk mengiktiraf atlet yang telah berjaya dan mempunyai potensi cemerlang, bermula daripada atlet cilik hinggalah ke peringkat profesional.

“Tujuan utama saya adalah kita tak nak mereka ini tidak meneruskan karier akibat kekangan kewangan dan sebagainya. Ini juga sebagai tanda usaha kita cuba bantu ibu bapa mereka supaya anak-anak mereka yang ada potensi ini terus kekal dalam sukan yang mereka cemerlang. Akhirnya, yang mendapat nikmatnya adalah Selangor dan juga Malaysia sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau menambah bahawa komitmen ini adalah sebahagian daripada pilar sumbangan Yayasan MBI bagi memastikan rakyat negeri Selangor dapat merasakan limpahan kekuatan ekonomi negeri secara langsung. 

Melalui galakan dan dorongan daripada kepimpinan tertinggi negeri, usaha bersepadu ini digembleng demi mengangkat semula mutu sukan Selangor, lebih-lebih lagi dengan misi besar menjadi juara keseluruhan dalam temasya SUKMA yang bakal menjelang di mana Selangor bertindak sebagai tuan rumah.

Dalam pada itu, menyentuh tentang impak sumbangan, Ahmad Azri menjelaskan bahawa bantuan kewangan ini sangat kritikal untuk persediaan kelengkapan alatan sukan, yuran kejohanan, serta kos logistik ke luar negara seperti tiket penerbangan dan penginapan.

Sokongan moral ini penting agar para atlet tidak merasa ‘sepi’ atau berjalan sendirian tanpa sokongan agensi kerajaan. 

“Inilah caranya kita nak tunjukkan bahawa kita ni kerajaan yang tidak mengabaikan sesiapa, ‘no one left behind in this state’.”

Trek rekod sumbangan Yayasan MBI sebelum ini terbukti telah melahirkan ramai jaguh dunia. 

Antaranya termasuklah kejayaan Qaseh Rania yang berjaya hingga ke Jerman, Aiman Hisyam yang merangkul gelaran Juara Tinju Asia, serta Azhar Habib yang kini memegang ranking ke-2 dunia dalam sukan ping pong.

“Kami suka melihat apabila ada potensi tapi mereka tak dapat sokongan daripada pihak yang sepatutnya. Jadi kita ambil tanggungjawab itu. Lepas tu, siapa-siapa yang nak claim kredit saya tak kisah, janji kita bantu daripada awal. Contohnya Aiman, dulu tak dikenali sebagai seorang boxer.

Sekarang apabila dah menang baru-baru ini dan tali pinggang ada di pinggang, baru mata pihak lain terbuka untuk datang membantu. Biarlah kami menjadi pemecah ruyung, orang lain nak kutip sagunya saya tak kisah.”

Beliau mengakui perasaan bangga dan kepuasan yang tidak terluahkan apabila melihat anak-anak didikan agensi tersebut berjaya membuktikan keupayaan mereka kepada pihak yang pernah memandang rendah sebelum ini, sehingga ada ketikanya mampu mengalirkan air mata kegembiraan melihat kejayaan anak muda Selangor di pentas antarabangsa.

Berikut adalah perincian agihan sumbangan Yayasan MBI

1. Sektor Sukan & Atlet Potensi (Jumlah Besar: RM65,000.00)

Dana disalurkan bagi menyokong pelbagai disiplin sukan demi membiayai kelengkapan, yuran pertandingan, dan kos logistik atlet:

  • Sukan Tinju (Aiman Hisyam bin Abu Bakar): RM20,000.00
  • Sukan Permotoran (10 Penerima Terlibat): RM24,000.00 (Pecahan: RM3,000 buat Aidil Zariff, Adam Harris, Aqeef Darwish, & baki RM2,000 setiap seorang bagi pelumba lain).
  • Sukan Tenis & Tenis Para: RM7,000.00 (Muhammad Suhaidin: RM5,000 | Danish Rayyan: RM2,000)
  • Sukan Judo (Mohd Khairani bin Sulaiman): RM5,000.00
  • Sukan Badminton (Muhammad Mizan Adli): RM3,000.00
  • Sukan Para Golf (Ahmad Ibrahim Al-Hafey): RM3,000.00
  • Sukan Push Bike (Muhammad Aqil Ramadhan): RM2,000.00
  • Sukan Bola Sepak (Harris Abu Bakar): RM1,000.00

2. Sektor Kebajikan, Kesihatan & Pendidikan (Jumlah Besar: RM56,000.00)

Bentuk keprihatinan holistik Yayasan MBI melangkaui padang sukan menerusi sokongan sosial dan bantuan kecemasan:

  • Bantuan Bencana Kebakaran: RM18,000.00 (RM3,000 setiap seorang kepada 6 mangsa: Ahmad Afiq, Lauza-I, Chandran, Muhammad Amirul, Jasni, & Azizah).
  • Bantuan Pendidikan & Biasiswa: RM26,000.00 (Biasiswa Zainol: RM20,000 | Biasiswa Aina Mariah: RM5,000 | Program Summer Camp Ammar Mahdi: RM500 | Anugerah Kecemerlangan Irfan Harith: RM500).
  • Seni Persembahan (Muhammad Aimansyah): RM5,000.00
  • Bantuan Kesihatan & Perubatan: RM6,000.00 (Rawatan Kanser Lahi Anak Akaw: RM3,000 | Bantuan Perubatan En Tan Chee How: RM3,000).
  • Bantuan Bencana Banjir (Nur Azreen binti A. Aziz): RM1,000.00

Inisiatif murni ini jelas mencerminkan keterbukaan serta kesungguhan Yayasan MBI dan kerajaan negeri Selangor dalam menyuburkan potensi modal insan serta memastikan keselamatan sosial rakyatnya sentiasa terbela dan terpelihara di bawah prinsip kebajikan yang inklusif.