AFC akan pantau FAM secara rapi selama dua tahun, laporan prestasi setiap 3 bulan
Kongres Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berlangsung sebentar tadi menjadi tumpuan utama landskap sukan tanah air.
Kehadiran Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, ternyata membongkar pelbagai isu dalaman serta pembaharuan drastik yang bakal dilalui oleh badan induk bola sepak negara itu.
Laporan audit menyeluruh dari AFC telah dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany.
Bukan sekadar perubahan kosmetik, FAM kini sedang berdepan dengan proses “pembersihan” besar-besaran demi mengembalikan imej dan tadbir urus yang lebih profesional.
Menurut Windsor Paul, antara pendedahan mengejutkan ialah kegagalan FAM membentangkan bajet kepada perwakilan sejak beberapa tahun lalu selepas berlakunya pindaan statut terdahulu.
Walaupun alasan teknikal diberikan, beliau menegaskan ia adalah satu kesalahan tadbir urus (governance).
“Sifat telus dalam aliran wang masuk dan keluar adalah hak asas yang wajib diketahui oleh perwakilan. Susulan itu, Kongres Luar Biasa kali ini telah meluluskan pertukaran 11 artikel statut bagi memperbetulkan kesilapan lalu,”
katanya.
Dalam pada itu, Windsor Paul turut berkata laporan dalaman juga mendedahkan wujudnya budaya kerja yang toksik di dalam FAM, di mana kakitangan takut bersuara kerana bimbang akan tindakan balas (retaliation) daripada pihak atasan.
Bagi mengatasi isu ini, AFC akan mengetuai usaha memperkasakan golongan profesional (seperti Pengarah) dan mengurangkan kuasa mutlak Pengerusi Jawatankuasa.
“Sekarang ni kita nak alihkan tugasan harian daripada Pengerusi Jawatankuasa kepada staf macam Pengarah. Sebelum ini, Pengerusi lebih berkuasa daripada Pengarah yang hanya atas nama sahaja. Itu tak betul. Anda upah profesional, bagi mereka buat kerja.”
Beliau pada masa sama turut menyuarakan mengenai isu ketidakcekapan penempatan kakitangan turut dibongkar, di mana terdapat jabatan kritikal seperti Sumber Manusia (HR) yang diuruskan oleh individu daripada latar belakang Teknologi Maklumat (IT).
AFC bagaimanapun tidak menggalakkan pemberhentian kerja (retrenchment), sebaliknya proses audit dalaman akan dilakukan bagi menilai kepakaran kakitangan supaya mereka dapat diletakkan di jabatan yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.
Di samping itu, imbangan tenaga kerja akan dilaksanakan dengan memindahkan lebihan kakitangan dari jabatan yang padat ke jabatan yang kekurangan pekerja bagi membantu tugasan dokumentasi (paperwork).
Pada masa sama, pasukan sumber manusia (HR) daripada pihak AFC sendiri akan turun padang bagi membantu melancarkan keseluruhan proses penstrukturan semula ini.
Sementara itu, demi memastikan FAM benar-benar berubah, AFC tidak akan melepaskan tangan begitu sahaja, sebaliknya mereka akan memantau FAM secara rapi selama dua tahun, dan FAM diwajibkan untuk menghantar laporan prestasi pada setiap tiga bulan.
Langkah drastik ini diharapkan dapat membersihkan imej FAM, mengembalikan kepercayaan penyokong, dan yang paling penting, meletakkan bola sepak Malaysia kembali ke landasan yang sepatutnya.