Biar Presiden FAM baharu jawab isu 7 pemain – Tan Sri Hamidin
Isu status tujuh pemain warisan atau naturalisasi yang menyertai skuad Harimau Malaya terus menjadi tanda tanya besar dan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin, memilih untuk mengunci mulut dan menegaskan bahawa sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut akan dijawab oleh Presiden baharu badan induk itu kelak.
“Saya rasa untuk masa sekarang, hari ini saya tidak mahu menjawab. Apabila tiba masa yang sesuai, saya rasa FAM akan menjawabnya apabila Presiden baharu dipilih nanti,”
katanya.
Dalam pada itu, Hamidin turut mengulas mengenai laporan audit dalaman yang dilakukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengakui struktur lama yang diguna pakai sebelum ini mungkin sudah tidak lagi relevan dengan landskap bola sepak moden.
“Kita mengikut statut kita, tetapi ini adalah babak baharu (new chapter). Banyak perkara baharu yang patut kita perbaiki. Jika kita lihat negara lain, statut mereka berbeza-beza; ada tempat yang sudah moden dan ada yang masih ketinggalan (outdated). Jadi, dengan adanya reformasi ini, ia adalah masa terbaik untuk FAM berubah sepenuhnya demi tadbir urus yang baharu.”
Tambahnya lagi, walaupun segala prosedur kewangan dan jawatankuasa sebelum ini dipatuhi, ia mungkin masih belum mencapai penanda aras (benchmark) terbaik yang dimahukan pada waktu sekarang.
Dalam pada itu, siri pembaharuan drastik ini pastinya berkait rapat dengan Pemilihan Ahli Jawatankuasa FAM yang dijadualkan berlangsung pada September depan.
Hamidin yang ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan nombor satu itu, Hamidin memberikan jawapan yang penuh teka-teki namun memberi bayangan sedia melepaskan kerusi panas tersebut.
“Mengenai sama ada saya mahu bertanding atau tidak, saya ada dua jawapan. Yang pertama adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada orang lain yang berminat, dan mungkin ramai yang mempunyai kualiti untuk menerajui FAM. Yang kedua, kita tunggu dan lihat.”
Dengan perkembangan terbaharu ini, peminat bola sepak tanah air nampaknya perlu menunggu sehingga September depan untuk melihat wajah baharu yang bakal menerajui FAM, sekali gus merungkai segala persoalan yang terbuku mengenai hala tuju dan status sebenar tujuh pemain Harimau Malaya.