RCB dan UMA Racing pacu sukan motor 2026: Barisan atlet bertaraf dunia diperkenalkan!
Gergasi komponen sukan motor tanah air, RCB dan UMA Racing, hari ini memperkukuh komitmen mereka dalam melahirkan serta melonjakkan bakat perlumbaan motosikal ke peringkat tertinggi.
Langkah ini direalisasikan menerusi pengumuman barisan atlet dan duta rasmi bagi tahun 2026, yang membariskan gabungan mantap pelumba handalan antarabangsa serta permata muda yang sedang meningkat naik.
Komitmen ini bukan sekadar tajaan di atas kertas, malah merangkumi sokongan kewangan, bantuan teknikal, serta bekalan komponen premium berprestasi tinggi untuk kegunaan di litar lumba mahupun latihan harian.
Barisan pelumba RCB dan UMA Racing bagi tahun 2026 menyaksikan kehadiran nama-nama besar yang menggegarkan litar antarabangsa dan serantau:
- David Alonso Gomez (Kejuaraan Dunia Moto2): Pelumba pasukan CFMoto Aspar Racing Team yang dianggap antara bakat muda paling menyinar di dunia.
- Hakim Danish Ramli (Kejuaraan Dunia Moto3): Anak tempatan pertama menjuarai Idemitsu Asia Talent Cupyang kini menggalas harapan Malaysia di pentas Grand Prix global bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi.
- Hafizh Syahrin Abdullah (ASB1000, ARRC): Bekas pelumba MotoGP negara dan juara bertahan ASB1000 bersama JDT Racing Team, yang terus menjadi ikon dan inspirasi terbesar sukan motor Asia.
- Kasma Daniel Kasmayudin & Nazirul Izzat: Dua jaguh serba boleh yang mendominasi saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) dan Kejuaraan Malaysian Cub Prix.
- Qabil Irfan Azlan (Piala Eropah & Asia Moto4): Permata baharu berusia 14 tahun yang mencuri tumpuan dunia selepas menduduki tempat keempat pada debutnya di Barcelona, meletakkan dirinya dalam laluan impian Road to MotoGP.

Menurut Pengurus Besar Jenama RCB dan UMA Racing, Marcus Leong, tajaan ini membawa misi yang lebih besar daripada sekadar mengejar kedudukan podium.
“Di RCB dan UMA Racing, kami percaya sukan motor adalah tentang minat mendalam, ketabahan, pembentukan sahsiah, dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang. Kami mahu memberikan keyakinan dan sumber terbaik agar pelumba kami dapat beraksi pada tahap maksimum,”
ujarnya.
Selain menaja pelumba secara individu, RCB dan UMA Racing kekal aktif menyokong pasukan-pasukan elit dalam saingan antarabangsa seperti MotoGP, Moto2, Moto3, WorldSBK, sehinggalah ke saingan domestik.
Malah, jenama ini turut meneroka segmen baharu seperti FIM Harley-Davidson Bagger World Cup dan Ducati V2 Challenge.
Bagi memastikan ekosistem sukan motor terus subur, kedua-dua jenama ini juga komited turun padang menyokong program komuniti, perhimpunan peminat motosikal, serta inisiatif di peringkat akar umbi.
Dengan gandingan teknologi premium dan bakat luar biasa ini, RCB dan UMA Racing bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di peta sukan motor dunia, malah sedang membina legasi yang bakal mencorakkan masa depan dunia permotoran untuk generasi akan datang.