Feyenoord pecat Robin van Persie selepas 16 bulan

105

Jodoh Robin van Persie bersama Feyenoord akhirnya terlerai apabila kelab gergasi Eredivisie itu mengumumkan pemecatan beliau selepas hanya 16 bulan mengemudi pasukan.

Dipetik dari BBC, biarpun bekas penyerang prolifik Arsenal dan Manchester United itu berjaya membawa Feyenoord meraih naib juara liga sekali gus mengesahkan tiket ke Champions League (UCL), ia masih belum cukup untuk menyelamatkan jawatannya. 


Prestasi hambar yang menyaksikan mereka ketinggalan 19 mata di belakang juara, PSV Eindhoven, menjadi punca utama keputusan drastik ini diambil.

Pengarah Teknikal baharu, Devy Rigaux, menjelaskan bahawa analisis dalaman mendedahkan trend penurunan persembahan dan kutipan mata pasukan yang membimbangkan, sama ada di pentas domestik mahupun Eropah. 

Susulan itu, pengurusan tertinggi memutuskan bahawa kelab memerlukan sentuhan ketua jurulatih baharu bagi menghadapi musim depan.

Van Persie yang berusia 42 tahun sememangnya mempunyai ikatan emosi yang kuat dengan Feyenoord, tempat di mana beliau memulakan dan mengakhiri karier gemilangnya sebagai pemain dengan rekod 46 gol. 

Bagaimanapun, dunia bola sepak profesional ternyata kejam dan rekod lampau itu gagal menjamin kedudukannya.