Cabaran ekstrem di sempadan: Menyingkap keunikan Nakawan Ultra di Perlis

75

Apabila bercakap tentang sukan larian, destinasi utara tanah air selalunya sinonim dengan acara berprestij Perlis Marathon yang menyusuri laluan kampung dan sungai sejak 2015. Bagaimanapun, bagi penggemar sukan larian lasak denai, Perlis sebenarnya menyimpan satu lagi permata yang semakin digilai pelari tempatan dan antarabangsa.

Bakal membuka tirainya pada 12 Disember 2026, Nakawan Ultra edisi ketiga menjanjikan satu dimensi ‘azab’ dan kepuasan yang berbeza. 


Nakawan Ultra yang dianjurkan oleh MEP 21 cara ini bukan sekadar larian ultra biasa, tetapi satu pengembaraan ekstrem menakluki banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia iaitu Banjaran Nakawan.

Lari Atas Garisan Sempadan Malaysia-Thailand

Keunikan utama Nakawan Ultra adalah laluannya yang terletak betul-betul di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. 

“Para peserta bakal merasai pengalaman unik berlari di atas banjaran batu kapur yang menawarkan laluan berbeza daripada tempat lain. Berpusat di pekan Padang Besar—sebuah bandar sempadan yang kini kian pesat membangun—lokasi larian ini sememangnya terletak begitu hampir dengan negara jiran. 

Disebabkan laluannya yang sangat hampir dengan sempadan, para pelari dinasihatkan agar mematikan data roaming telefon dan wajib membawa pasport bersama, bimbang jika ‘terlajak’ langkah ke Thailand!,” ujar Pengarah Urusan MEP 21, Ku Hasrin Bin Ku Abdul Rahman.

Menurut Ku Hasrin atau lebih dikenali sebagai Pak Ku, di sebalik keindahan fasa awal itu, pelari bakal diuji dengan cabaran fizikal yang sangat menuntut daya tahan.

Dedah Pak Ku lagi, berbeza dengan edisi-edisi sebelum ini yang banyak memfokuskan pemandangan di sekitar Kangar dan Kuala Perlis, edisi 2026 menampilkan laluan (route) baharu yang lebih mengujakan.

Penganjuran tahun ini memfokuskan kepada tiga jarak utama iaitu 10 kilometer, 30 kilometer, dan 50 kilometer tanpa melibatkan kategori santai (fun run).

Pelari kategori elit bakal dibawa mendaki ke puncak Banjaran Nakawan menerusi Puncak Wang Gunung. 

Dari atas puncak batu kapur ini, pelari dapat menikmati hidangan visual luar biasa yang meliputi lebih separuh pemandangan seluruh negeri Perlis, termasuklah panorama tular Empangan Timah Tasoh dan Bukit Cabang.

Malah, faktor cuaca Perlis yang dipengaruhi iklim Thailand turut menjadi ‘senjata rahsia’ trek ini. 

Cuacanya sukar diramal—hari pertama boleh jadi hujan lebat, manakala hari kedua pula pelari bakal ‘disalai’ dengan cuaca panas terik.

Persiapan Dua Tahun Sekali Demi Kualiti & Keselamatan

Satu fakta menarik mengenai Nakawan Ultra adalah ia merupakan antara sebilangan kecil acara sukan di Malaysia yang dianjurkan dua tahun sekali, berselang-seli dengan acara larian jalanan, Putra (Perlis Ultra Marathon).

Sebab utamanya? Pengurusan keselamatan yang amat ketat.

Pak Ku menjelaskan bahawa laluan Nakawan Ultra bukanlah denai landai yang biasa. Treknya memerlukan pelari memanjat tebing batu kapur, menggunakan tali, meniti tangga, dan meredah sungai. 

Malah, jarak antara satu stesen air (water point) atau pusat pemeriksaan (checkpoint) adalah sekitar 8 hingga 10 kilometer.

Proses simulasi dan rintisan trek (trail hunting) dilakukan berulang kali oleh Race Director, Encik Jai, bersama Trail Master berpengalaman, Pak Lang. 

Untuk menyediakan trek sejauh 50 kilometer ini, pasukan teknikal sanggup bermalam di dalam hutan berminggu-minggu lebih awal sambil memikul bekalan air yang berat demi memastikan laluan tersebut selamat.

Selain itu, penganjur mengamalkan polisi ‘Zero Compromise’ dalam aspek keselamatan yang mana setiap pelari wajib mengemukakan laporan kesihatan yang sah. Jika gagal atau dinilai tidak cergas, mereka tidak dibenarkan bertanding.

Pelari juga wajib membawa kit pertolongan cemas, selimut kecemasan (emergency blanket), dan wisel. Pemeriksaan mengejut dilakukan di checkpoint dan kegagalan membawa barangan ini akan menyebabkan pelari disingkirkan (disqualified).

Pengajur pada masa sama turut menjalin kerjasama dengan komuniti setempat bersama kru terlatih yang mana setiap kru yang bertugas bukan sekadar sukarelawan biasa, tetapi terdiri daripada pendaki berpengalaman serta mendapat kerjasama penuh daripada Malim Gunung Perhutanan (MGP) Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, PDRM, APM, dan pihak hospital.

Menjana Ekonomi Orang Kampung Menerusi Herba Nakawan

Di sebalik keghairahan sukan ekstrem ini, MEP 21 mengekalkan falsafah murni—memulangkan semula limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

Trail master dan krew pemandu arah terdiri daripada anak-anak kampung yang biasa mencari hasil hutan seperti madu, rotan, dan herba. 

Menariknya, penganjuran Nakawan Ultra telah mencetuskan ilham kepada komuniti Wang Gunung dan Wang Kelian untuk menghasilkan produk herba tempatan.

Kini, mereka telah melancarkan jenama Nakawan Herb Product yang mengeluarkan produk seperti minyak panas tradisional dan semburan (spray) otot berasaskan lebih 70 spesies tumbuhan herba yang ditemui di Banjaran Nakawan. 

Pelari kini tidak perlu lagi bergantung kepada ubat moden luar sempadan, sebaliknya boleh terus menyokong produk hasil tangan warga kampung Perlis.

“Sumbangan dan penglibatan masyarakat setempat juga tidak dilupakan. Keunikan utama pihak penganjur, MEP 21, adalah komitmen mereka dalam memastikan penganjuran acara ini memberi pulangan ekonomi semula kepada orang kampung. Prinsip inilah yang menjadi pegangan kami sejak dahulu lagi,” kongsi Hizhar Hamizy Hamdan yang merupakan salah seorang pakar teknikal untuk Nakawan Ultra.

Tarikan Pelancong Asing & Penutup Kalendar Ultra

Terletak di hujung tahun dan bertepatan dengan musim cuti sekolah, Nakawan Ultra berfungsi sebagai acara penutup kalendar sukan larian ultra tempatan. 

Dengan sasaran awal melebihi 1,000 orang peserta, pendaftaran kini sudah pun mencecah hampir 500 pelari tempatan.

Bukan itu sahaja, pelari dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia, dan Singapura sudah mula mengesahkan tempat. 

Malah, kualiti trek di Perlis ini pernah mendapat pujian tinggi daripada pelari elit antarabangsa dari United Kingdom yang menyifatkan bentuk muka bumi di sini sebagai ‘excellent’.

Bagi pelari yang mahu beralih angin daripada kebosanan larian jalan raya (road run), Nakawan Ultra menawarkan terapi minda yang magis. 

Berlari dalam keheningan hutan ditemani bunyi cengkerik, menghargai khazanah alam, selain mendisiplinkan diri untuk tidak membuang sampah merata-rata, memberikan satu kepuasan rohani yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Pendaftaran bagi Nakawan Ultra 2026 masih dibuka sehinggahujung September 2026. 

Jika anda terlepas peluang keemasan tahun ini, anda terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk merasai sendiri ‘azab yang indah’ di sempadan utara tanah air!