Impian pengadil Somalia ke Piala Dunia 2026 lebur selepas disekat masuk AS
Hasrat Omar Artan untuk mencipta sejarah sebagai warga Somalia pertama mengadili perlawanan di pusingan akhir Piala Dunia 2026 lebur selepas beliau dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat.
Dipetik dari BBC, Artan, yang dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik CAF 2025, telah disekat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dan kini dilaporkan berada di Turki.
Walaupun pihak imigresen AS tidak mendedahkan punca sekatan tersebut, Somalia sememangnya berada dalam senarai larangan perjalanan yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Badan induk bola sepak dunia, Fifa, mengesahkan pengguguran nama Artan daripada senarai 52 pengadil kejohanan.
Fifa menegaskan bahawa keputusan imigresen dan pengeluaran visa adalah hak mutlak kerajaan tuan rumah.
Sementara itu, pihak berkuasa Somalia mengesahkan Artan membawa dokumen dan pasport diplomatik yang sah.
Pasukan Petugas Rumah Putih pula mempertahankan tindakan pihak kastam, manakala Persekutuan Bola Sepak Somalia (SFF) kini sedang menuntut penjelasan segera daripada Fifa berhubung isu berkenaan.