Lampu hijau buat JDT & Selangor FC, KL City dipantau rapi, PDRM & Kelantan didenda RM10,000 akibat isu FFP

151

Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Financial Fair Play (FFP) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memuktamadkan Mesyuarat Ringkasan Penyerahan Dokumentasi “In-Season” Ke-5 bagi musim 2025-2026. 

Penilaian ini adalah penyerahan terakhir bagi musim ini untuk meneliti tahap pematuhan kewangan kelab-kelab Liga Malaysia setakat 30 April 2026.


Pengerusi FIB, Tuan Sheikh Mohd Nasir Bin Sheikh Mohd Sharif menegaskan bahawa peraturan FFP dan Pelesenan Kelab adalah dua kerangka yang berbeza. Oleh itu, kelab wajib mematuhi kedua-dua syarat secara berasingan tanpa kompromi.

Berdasarkan keputusan rasmi mesyuarat tersebut, status kewangan kelab-kelab Liga Malaysia kini terbahagi kepada beberapa kategori kritikal:

Enam Kelab ‘Cemerlang’ Bebas Tunggakan

Enam buah kelab dipuji selepas didapati mematuhi sepenuhnya keperluan FFP tanpa sebarang tunggakan gaji pekerja mahupun tunggakan kepada agensi kerajaan (LHDN, KWSP, PERKESO). Kelab tersebut ialah:

  • Johor Darul Ta’zim (JDT) FC
  • Selangor FC
  • Penang FC
  • Kuching City FC
  • DPMM FC
  • Imigresen FC

Gaji Sangkut? Tiada, Tapi Ada Hutang Agensi Kerajaan

Empat kelab iaitu Sabah FC, Melaka FC, Negeri Sembilan FC, dan Terengganu FC disahkan bersih daripada isu tunggakan gaji pemain dan staf. Bagaimanapun, mereka didapati masih mempunyai hutang tertunggak dengan agensi-agensi kerajaan. Peringatan rasmi telah dihantar agar isu ini diselesaikan segera mengikut tempoh yang ditetapkan.

KL City FC Di Bawah Radar Pemantauan Rapi

Kedudukan KL City dilaporkan agak membimbangkan apabila kelab itu dikesan mempunyai dua isu serentak: tunggakan gaji pekerja dan tunggakan agensi kerajaan. FIB kini meletakkan KL City di bawah pemantauan dekat dan memberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian konkrit setakat April 2026.

PDRM FC & Kelantan TRW Dikenakan Denda RM10,000

Nasib malang menimpa PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors FC apabila kedua-duanya didapati gagal mengemukakan dokumen lengkap bagi Penyerahan “In-Season” Ke-5. Selain mempunyai tunggakan gaji dan hutang agensi kerajaan, kedua-dua kelab ini didenda RM10,000 kerana melanggar Artikel 11 Peraturan FFP Musim 2025-2026. Mereka turut diberi masa 14 hari untuk melengkapkan dokumen serta menyerahkan pelan penyelesaian.

Fasa Seterusnya: Bajet Musim 2026-2027

Dengan berakhirnya penilaian “In-Season” terakhir ini, kelab-kelab Liga Malaysia kini akan beralih ke fasa seterusnya iaitu penyerahan bajet bagi musim 2026-2027 serta deklarasi kewangan setakat Jun 2026.

FIB dan FFP MFL kekal komited dalam memantau tadbir urus kewangan kelab demi memastikan ekosistem bola sepak profesional Malaysia kekal mampan, telus, dan bertanggungjawab.