Takluk trek ‘teknikal’ Gombak, Amierul juara 100KM Trail des Gombak 2026!
Pelari denai, Mohamad Amierul Amin Shamsul Kamal telah membuktikan statusnya sebagai pelari pilihan apabila menjadi pelari pertama yang sampai ke garisan penamat untuk muncul juara bagi kategori Lelaki Terbuka 100KM Trail des Gombak 2026 (TDG26).
Amierul menamatkan lariannya dengan catatan masa 17 jam 31 minit 8 saat menyifatkan laluan edisi kelima TDG anjuran Projek Hijo sebagai sebuah “igauan ngeri” yang sangat teknikal.
Dengan format larian sejauh 50 kilometer yang perlu diulangi sebanyak dua kali (2 loops), cabaran bukan sekadar pada jarak, tetapi pada bentuk muka bumi.
“Route dia mostly very technical dan hilly. Banyak rolling bukit-bukit yang tinggi. Dia tak bagi naik sekali gus terus turun, tapi sebaliknya naik, turun sampai bawah, kemudian kena daki balik ke atas,”
katanya.
Keadaan menjadi bertambah ekstrem apabila faktor cuaca memainkan peranan terutamanya apabila hujan lebat yang melanda sebelum acara bermula telah menukarkan laluan denai semula jadi tersebut menjadi medan lumpur yang hancur dan sangat licin.
Beliau yang merupakan pelari denai berpengalaman sudah pun membuat perancangan awal termasuk pengurusan tenaga selepas meneliti data GPX perlumbaan dan mendapatkan maklum balas daripada rakan-rakan yang melakukan simulasi.
“Sebab ini event Projek Hijo, saya memang dah expect mereka akan bagi laluan yang dahsyat-dahsyat macam ni.”
Dalam pada itu, Amierul berkata cabaran terbesar beliau adalah di kawasan selepas CP Lagong menuju ke Puncak TDG.
“Paling mencabar adalah satu bahagian di tengah-tengah, lepas daripada CP Lagong menuju ke puncak TDG. Kat situ laluan dia jenis rolling trail—kejap naik, kejap turun tanpa henti. Kat situ memang kena maki dengan mental sendiri.”
Disebalik cabaran yang perlu dihadapinya, Amierul memuji keindahan laluan Trail des Gombak kali ini yang mana laluannya sangat cantik dan ‘dara’ kerana melalui kawasan denai yang jarang dimasuki orang awam, lengkap dengan pemandangan sungai-sungai kecil yang jernih.
Sementara itu, Amierul selepas TDG beliau akan kembali beraksi di Muallim Cross Country bagi kategori 50KM dan kemuncak kepada kalendar tahunannya, beliau bakal menggalas cabaran antarabangsa di Indonesia.
Beliau dijadualkan terbang ke Jakarta untuk menyertai perlumbaan Southeast Asian Trail Running Cup 2026 (SEATRA Cup) bagi kategori short trail 42KM yang melibatkan unjuran ketinggian ekstrem mencecah 4,000 meter.