RATU WAI KRU DUNIA! Yan Jia Chi julang emas keempat berturut-turut di sebalik kecederaan
Gelaran “Ratu Wai Kru Dunia” sememangnya layak disandang oleh atlet Muaythai negara, Yan Jia Chi (Angie) apabila beliau sekali lagi membuktikan dominasi luar biasanya apabila merangkul pingat emas acara Female Wai Kru di Kejohanan Dunia Muaythai Senior IFMA 2026.
Menerusi aksi memukau, Angie meraih mata tertinggi 9.50, sekali gus mengetepikan wakil Filipina (9.20) untuk mempertahankan kejuaraan dunia buat kali keempat berturut-turut sejak tahun 2023 di Thailand, Greece, Turkiye, dan kini Malaysia.
Di sebalik kejayaan gemilang ini, Angie sebenarnya terpaksa mengharungi cabaran getir akibat kecederaan ligamen buku lali kiri (ATFL) selepas satu kejohanan besar sebelum ini.
Beliau bangkit daripada fasa sukar itu dengan menjalani latihan intensif di Thailand selepas beberapa bulan berehat.
“Selepas perlawanan tersebut, kaki kiri saya mengalami kecederaan ATFL. Saya mempersiapkan diri dengan begitu banyak untuk pertandingan ini. Selepas 2-3 bulan, saya mula berlatih,”
ujarnya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Angie berkata bagi mereka yang kurang memahami disiplin Wai Kru, ia sebenarnya adalah ‘bunga’ untuk Muaythai.
“Wai Kru sebenarnya adalah bunga untuk Muaythai. Macam Taekwondo dan Karate, mereka juga ada bunga mereka sendiri. Seni warisan inilah yang dinilai juri dari segi kehalusan gerakan dan keseimbangan.”
Sementara itu, melangkah ke hadapan, kejohanan ini menjadi medan persediaan terbaiknya sebelum mengalihkan fokus ke Asian Indoor and Martial Arts Games di Arab Saudi serta Sukan SEA akan datang.
Angie pada masa turut meluahkan penghargaannya kepada peminat yang sentiasa menyokongnya.
“Terima kasih semua atas sokongan anda. Ia amat bermakna buat saya dan saya akan terus berlatih dengan gigih serta melakukan yang terbaik!”