Status ibu bukan penghalang, Cassie buktikan sukan ekstrem milik semua!

130

Bagi seorang wanita, menguruskan rumah tangga, membesarkan dua anak yang masih kecil, dan bekerja sebagai model sambilan sudah cukup untuk memenuhi jadual harian. 

Namun bagi Cassandra Alicia atau Cassie, status sebagai seorang ibu bukanlah alasan untuk menggantung kasut larinya. Sebaliknya, beliau bakal kembali ke garisan permulaan Malaysia Ultra Trail by UTMB (MY Ultra Trail) buat kali kedua untuk menakluki kategori 25KM.


Kini dikenali sebagai pelari influencer yang aktif, Cassie sebenarnya memulakan langkah dalam dunia kecergasan melalui hobi mendaki (hiking) yang mana beliau kemudian beralih ke dunia trail running berlaku secara semula jadi demi tuntutan masa masa selepas bergelar ibu.

“Bila dah ada anak kecil, saya tak nak spend masa terlalu lama dalam hutan. Jadi bila saya tahu pasal trail running, saya fikir ini cara terbaik—saya boleh berlari dan hiking pada masa yang sama. Lebih cepat habis, lebih cepat saya boleh balik ke rumah untuk anak-anak,”

kata Cassie.

Ramai pengikutnya di media sosial sering bertanya bagaimana beliau membahagikan masa. Cassie mendedahkan bahawa beliau tidak berlari setiap hari, sebaliknya mengehadkan latihan kepada 2 hingga 3 hari seminggu sahaja dengan fokus kepada kualiti latihan berbanding kuantiti.

Cassie bijak “curi masa” dengan melakukan larian pendek atau strength training selama 30 hingga 40 minit selepas kerja sementara menunggu waktu menjemput anak. 

Kunci utamanya adalah kerjasama erat dengan suami, yang sentiasa bersedia menjaga anak-anak setiap kali beliau keluar berlatih atau bertanding.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sasaran dalam MY Ultra Trail, Cassie tidak meletak sasaran tinggi sebaliknya berkata larian denai mempunyai cabaran luar biasa yang tersendiri, apatah lagi beliau berlumba dalam keadaan masih menyusukan badan dan kurang tidur.

“Saya jarang bersedia 100% sebelum perlumbaan. Jadi saya tidak meletakkan tekanan untuk mengejar podium. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Bagi saya, dapat menamatkan larian (finish) dalam sukan ultra sudah merupakan satu pencapaian yang sangat besar,” 

ujarnya yang mengakui amat menyukai keunikan trek Taiping yang lembap, sejuk, dan berlumpur (muddy).

Sementara itu, melalui platform media sosialnya, Cassie konsisten berkongsi rutin kecergasannya termasuklah tips kembali aktif secara selamat selepas bersalin (postpartum). 

Beliau berasa terharu apabila menerima mesej daripada pengikutnya yang mula terinspirasi untuk melakukan brisk walk atau mendaki selepas melihat perkongsiannya.

Bagi Cassie, inisiatif mesra wanita yang dibawakan oleh pihak penganjur MY Ultra Trail tahun ini seperti tandas khas wanita dan pek kebersihan akan menarik lebih ramai golongan ibu dan wanita untuk tidak takut mencuba sukan ini.

“Cuba cabar diri anda. Di dalam denai, anda akan temui satu kekuatan luar biasa yang anda sendiri tidak pernah tahu anda miliki.”