Cabaran Piala Cahya Mata 2026 bermula! 256 pasukan berentap di kejohanan bola sepak amatur terbesar Malaysia
Pentas bola sepak amatur tempatan kini bersedia untuk digegarkan dengan saingan sengit selepas kejohanan Piala Cahya Mata 2026 memuktamadkan majlis undian kumpulan bagi saingan peringkat negeri Sarawak.
Menyasarkan status sebagai kejohanan bola sepak komuniti amatur terbesar di Malaysia, kejohanan kali ini mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya menarik penyertaan 32 pasukan dari Bumi Kenyalang dan 256 pasukan secara keseluruhan dari seluruh negara.
Kehadiran ratusan pasukan ini sekali gus mengesahkan pertembungan hebat membabitkan wakil dari lapan buah negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sedia merebut gelaran tertinggi.
Laluan ke gerbang kejuaraan kini bermula secara rasmi buat kesemua pasukan yang bertanding.
Selepas selesainya undian kumpulan bagi Negeri Sembilan dan Sarawak, baki negeri lain dijadualkan menyusul pada 5 Julai ini bagi melengkapkan carta saingan.
Secara keseluruhan, dianggarkan seramai 6,400 pemain amatur bakal turun ke padang dalam pusingan kelayakan di seluruh negara demi memburu hadiah wang tunai RM20,000 selaku juara peringkat negeri.
Namun, misi utama setiap pasukan adalah untuk melangkah ke pusingan Grand Final di Kuching pada November depan, di mana ganjaran tunai lumayan berjumlah RM100,000 menanti sang juara mutlak.
Aksi pembuka tirai dijadualkan berlangsung di Seremban pada 5 Julai 2026 sebelum kehangatan itu diteruskan dengan sepak mula secara serentak di Sarawak, Sabah, Melaka, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, dan Kelantan pada 18 Julai 2026.
Bagi menambah impak persaingan dan memastikan elemen keterangkuman, penganjur turut memperkenalkan kelainan melalui Challenger’s Cup di peringkat negeri.

Format ini memberikan talian hayat kedua buat pasukan yang tewas dalam perlawanan pertama supaya mereka tidak tersingkir serta-merta, sebaliknya dimasukkan ke dalam kumpulan kedua untuk merebut kejuaraan kategori itu yang menawarkan hadiah RM2,000 bagi juara, RM1,000 bagi naib juara, dan RM500 untuk pemenang tempat ketiga bersama.
Peminat yang tidak mahu terlepas menyaksikan setiap detik jaringan dan drama sepanjang kejohanan ini boleh menyemak jadual perlawanan, lokasi stadium, serta carta kedudukan terkini dengan melayari laman web rasmi Piala Cahya Mata 2026 di cahyamata.sukandigital.com.