ASEAN Championship 2026: Ayuh turun stadium, sokong Harimau Malaya!

214

Demam bola sepak Asia Tenggara kembali membara! Kejohanan berprestij ASEAN Championship (yang dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) bakal membuka tirainya secara rasmi pada hujung bulan Julai ini. 

Untuk kempen edisi ke-16 ini, jentera kebangsaan, Harimau Malaya, akan turun beraksi buat kali pertama selepas melalui fasa rombakan yang cukup drastik.


Selepas pemergian ketua jurulatih Peter Cklamovski, tugasan berat mengemudi skuad negara kini digalas oleh pengendali interim yang tidak asing lagi, Tan Cheng Hoe. 

Ini bukanlah kali pertama beliau berdepan situasi sukar kerana mengimbas sejarah, Cheng Hoe tidak memimpin skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF 2022 kerana beliau telah meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pada 3 Januari 2022 susulan kegagalan Harimau Malaya melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF 2020 di Singapura. 

Kini, beliau kembali demi tanggungjawab negara.

Keresahan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mula timbul apabila skuad kebangsaan tidak turun beraksi pada jendela FIFA window Jun lalu. 

Malah, sehingga kini masih tiada perkembangan rasmi mengenai senarai nama pemain yang akan dipanggil ke kem latihan pusat. 

Namun, di sebalik teka-teki dan persiapan yang kelihatan samar-samar ini, satu perkara yang pasti: Harimau Malaya amat memerlukan kita.

Laluan Malaysia & Jadual Perlawanan Kumpulan B 

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama gergasi serantau Thailand, Filipina, Myanmar, dan Laos. 

Berdasarkan format pertandingan, setiap pasukan akan bermain dua perlawanan di tempat sendiri dan dua di tempat lawan.

Berikut merupakan jadual penuh Harimau Malaya di peringkat kumpulan:

  • 25 Julai 2026: Myanmar lwn Malaysia (Stadium Thuwunna, Yangon)
  • 28 Julai 2026: Malaysia lwn Laos (Stadium Kuala Lumpur, Cheras)
  • 1 Ogos 2026: Thailand lwn Malaysia (Stadium Rajamangala, Bangkok)
  • 8 Ogos 2026: Malaysia lwn Filipina (Stadium Kuala Lumpur, Cheras)

Tiada Sasaran Tinggi, Hanya Jiwa Demi Lencana di Dada 

Melihat kepada situasi semasa pasukan, mungkin tiada sasaran tinggi melangit yang diletakkan di bahu skuad negara kali ini. Namun, sejarah membuktikan bahawa magis bola sepak sering tercipta apabila tiada siapa yang menjangkakannya.

Ayuh Ekor Harimau Sejati! turun ke stadium terutamanya bagi aksi laman tempatan di Cheras. 

Walaupun pasukan kita sedang melalui fasa transisi, kehadiran dan ngauman keramat anda di tempat duduk penyokong mampu membakar semangat barisan pemain untuk berjuang habis-habisan demi lencana di dada. Jumpa anda di stadium!