Sambutan luar biasa! CULTRA mungkin ada kejutan buat pelari tahun depan

136

Edisi ulang tahun ke-10 Cameron Ultra (CULTRA) bagi tahun 2026 mencatatkan impak luar biasa apabila kesemua slot penyertaan yang dibuka awal tahun lalu habis direbut dalam tempoh beberapa jam sahaja. 

Rentetan daripada sambutan hangat tersebut, pihak penganjur kini memberi bayangan awal mengenai kemungkinan wujudnya pembaharuan untuk edisi akan datang.


Pengasas BOLT merangkap Ketua Pegawai Mengenai Kewangan CULTRA, Hazemi Hamidi (Jimmy), menjelaskan bahawa peningkatan had penyertaan kepada 3,600 pelari tahun ini dikawal dengan amat rapi bagi memastikan kualiti pengurusan dan keselamatan peserta tidak terjejas. 

Bagaimanapun, bagi menampung permintaan yang terus melonjak tinggi pada masa hadapan, formula baharu sedang dirangka.

“Ya, kami boleh tingkatkan (jumlah peserta), tetapi jika itu bermakna kualiti akan terjejas, kami tidak akan melakukannya. Namun, ada cara untuk memperbaikinya atau menambah bilangan peserta iaitu dengan memanjangkan durasi hari acara. Perancangan ini sudah ada dalam perancangan masa hadapan, cuma saya belum boleh dedahkan sepenuhnya kerana ia adalah satu kejutan,”

ujarnya.

Bagi edisi satu dekad ini, penganjur telah pun memperkenalkan larian malam 30km sebagai kategori baharu untuk melengkapkan perlumbaan siang yang sedia ada. 

Acara bertaraf antarabangsa ini juga membuktikan kematangannya apabila berjaya menarik kehadiran signifikan pelari luar negara yang kini merangkumi sekitar 30 hingga 35 peratus daripada keseluruhan peserta, termasuk pelari elit dari Jepun, Thailand dan Indonesia.

Sementara itu, Pengurus Negara ASICS Malaysia, Boon Tib Soom Nik, menyatakan rasa bangga terhadap evolusi CULTRA dan melihatnya sebagai platform terbaik untuk menyatukan komuniti pelari road-to-trail (jalan raya ke denai). 

Selaku jenama sukan global, ASICS Malaysia turut mengumumkan komitmen padu mereka untuk terus menyokong dan menaja acara berkenaan sehingga tahun 2028.

“Ini merupakan tahun kedua kami bersama CULTRA. Sempena ulang tahun ke-10 ini, kami mahu membawakan kelainan dengan memperkenalkan inovasi produk terbaharu.

Kami mempamerkan dan menjual model eksklusif Meta Fuji Trail 2—kasut yang dibawa oleh atlet elit Tom Evans tahun lepas serta model Trail Blast yang dibina khusus dengan teknologi Novablast untuk kesesuaian transisi larian jalan raya ke denai,”

katanya.

Kasut-kasut inovasi baharu ini dijadualkan akan dilancarkan secara rasmi di pasaran pada 1 Ogos nanti, namun komuniti pelari di CULTRA mendapat keistimewaan untuk melihat dan mencubanya terlebih dahulu. 

Dalam pada itu, barisan atlet elit ASICS dari rantau Asia Tenggara turut memeriahkan saingan tahun ini, antaranya Surasak Somboon dan Weerasak(Thailand), Sobari dan Sobiri (Indonesia), serta pertaruhan bakat tempatan seperti Amierul Amin, Sua Yih Huan, dan beberapa lagi.

Selain menjadi medan cabaran fizikal menempuh cuaca tanah tinggi yang ekstrem, CULTRA 2026 terus menjadi pemacu utama ekonomi domestik di Cameron Highlands dengan jangkaan nilai impak pulangan ekonomi kasar melonjak antara 10 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding rekod RM12 juta pada tahun lalu.

Melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), acara ini melibatkan 150 penduduk tempatan, mengisi 90 peratus ruang gerai jualan di Race Village, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 500 orang kru termasuk pelajar sekolah. 

Membawa moto agar setiap pelari sentiasa bersedia mendepani cabaran trek, satu dekad CULTRA bukan sahaja membuktikan kematangan jenama tempatan, tetapi juga bersiap sedia untuk kejutan yang lebih besar pada masa hadapan.