Hatrik sempurna Amierul Amin selepas berjaya takluki CULTRA 2026 & benam jaguh elit Jepun
Luar biasa dan tiada tandingan! Jaguh denai tempatan, Mohamad Amierul Amin Shamsul, melakar sejarah peribadi yang gemilang apabila berjaya mendominasi kategori 100KM Lelaki Terbuka di Cameron Ultra (CULTRA) 2026.
Kejayaan epik dengan catatan masa padu 14 jam 51 minit 58 saat ini bukan sekadar podium biasa, malah melengkapkan gelaran JUARA HATRIK buat beliau tahun ini selepas merangkul takhta di Trail des Gombak dan Muallim Cross Country Run 2026!
Di sebalik kilauan pingat emas, laluan yang ditempuh Amierul penuh dengan ranjau yang hampir meragut impian hatriknya.
Amierul mendedahkan bahawa pada separuh masa pertama perlumbaan, strategi awalnya adalah untuk bermain secara selamat (play safe) demi menjaga keadaan kaki ekoran jadual perlumbaan yang padat.
Bagaimanapun, cabaran sebenar bermula apabila mereka memasuki kawasan ladang teh di bawah panahan cuaca yang teramat terik.
“Mula-mula memang saya tak jangka pun sebab di pertengahan perlumbaan tu cuaca tersangat panas. Badan saya dah mula rasa semacam, hampir terkena strok haba (heat stroke). Waktu dekat ladang teh tu, asal nampak sungai je saya wajib mandi untuk sejukkan badan. Kebanyakannya terpaksa berjalan kaki,”
katanya.
Namun, percaturan alam bertukar mod apabila hujan mula turun membasahi bumi Cameron Highlands yang mana suhu yang kembali sejuk menjadi talian hayat buat Amierul untuk menukar rentak larian dan memulakan fasa mengejar semula.
Menyentuh mengenai taktikal lariannya, keputusan Amierul untuk menyimpan tenaga pada 50 kilometer pertama terbukti menjadi kunci utama.
Fasa kedua perlumbaan menjadi medan beliau memerah segala keringat, disokong oleh kemas kini kedudukan semasa daripada isterinya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Isteri saya sentiasa update kedudukan. Dia beritahu jarak pesaing di depan berapa kilometer dan jarak dengan pelari di belakang berapa kilometer. Maklumat itu yang menjadi motivasi terbesar untuk saya terus tekan minyak dan push habis-habisan.”
Dalam pada itu, cabaran trek CULTRA edisi ke-10 ini semakin menggila di fasa akhir ekoran hujan lebat dengan laluan di Gunung Jasar, Berembun, dan Robinson digambarkan berada dalam keadaan yang sangat ekstrem.
Menurut Amierul, laluan Robinson langsung tidak mempunyai ruang bertapak (stepping), memaksa pelari melangkah besar untuk mendaki dalam selut yang tebal.
Namun baginya, keunikan CULTRA terletak pada faktor cuaca tidak menentu ini yang sentiasa menjanjikan cabaran berbeza setiap tahun.
Klimaks perlumbaan CULTRA 2026 pastinya tertumpu kepada detik Amierul Amin berjaya menjejaki pelari denai elit antarabangsa dari Jepun, Yutaro Yokouchi.
Yokouchi yang hadir dengan reputasi besar selaku pemenang podium UTMB World Series, memimpin perlumbaan pada satu ketika sebelum dipintas secara dramatik oleh anak tempatan ini.
“Bila saya nampak kelibat Yutaro Yokouchi di depan, dalam kepala saya cuma ada satu benda nak pintas dia. Sebaik sahaja nampak dia, ajaibnya segala rasa penat dan sakit kaki yang dah kehabisan tenaga tu terus hilang, automatik bertenaga semula.”
Sementara itu, kejayaan menewaskan pelari bertaraf dunia seperti Yokouchi menjadi bukti sahih bahawa pelari tempatan kini berada pada kelas yang tersendiri.
Mengulas mengenai jurang antara atlet Malaysia dengan pelari antarabangsa, Amierul menegaskan bahawa anak tempatan sememangnya mampu bersaing rapat sekiranya mendapat sokongan ekosistem yang betul.
“Kita sebenarnya sangat mampu bersaing kalau ada perancangan dan latihan yang betul, di samping menjaga aspek pemakanan serta proses pemulihan (recovery). Di luar negara, mereka mempunyai pakar khas untuk recovery.
Di Malaysia kita belum sampai ke tahap itu lagi, tapi kita boleh cuba secara perlahan-lahan. Latihan kekuatan (strength), nutrisi, dan recovery—semua ini sangat penting kalau kita mahu terus bersaing di peringkat antarabangsa.”
Satu pembuktian konsistensi, disiplin, dan mentaliti kelas juara yang tiada tandingan. Tahniah Mohamad Amierul Amin Shamsul, legenda hatrik CULTRA 2026!