Tebus duka DNF: Daved Simpat rampas takhta juara 100KM Veteran CULTRA 2026

121

Selepas dihantui kegagalan menamatkan larian (DNF) pada edisi 2024 dan 2025, pelari veteran negara, Daved Simpat, melakar kebangkitan dramatik apabila bergelar JUARA kategori 100KM Lelaki Veteran di Cameron Ultra (CULTRA) 2026. 

Daved menamatkan larian ekstrem ini dalam masa 14 jam 17 minit 14 saat bersempena edisi ulang tahun ke-10 perlumbaan tersebut.


“Saya sangat gembira. Ini penyertaan kelima saya sejak 2018. Pada 2018 saya juara, 2022 tempat kedua, manakala 2024 dan 2025 pula DNF. Tahun 2026 ini amat menggembirakan kerana saya kembali menjuarai CULTRA,”

ujarnya.

Perlumbaan sengit itu menyaksikan Daved terpaksa bertarung side-by-side dengan pelari elit dari Jepun, Yutaro Yokouchi, dalam keadaan laluan yang sangat licin dan basah akibat hujan lebat. 

Bagaimanapun, Daved berjaya menjarakkan diri hasil strategi daripada jurulatihnya.

“Strateginya ialah untuk 50 kilometer pertama, saya mesti berada di belakang Yuta. Selepas melepasi 50 kilometer terakhir, baru saya push gunakan seluruh tenaga yang ada. Saya cuma ikut pelan itu.” 

Dlam pada itu, bagi Daved, CULTRA 2026 merupakan sebahagian daripada blok latihan intensifnya sebelum membawa cabaran Malaysia ke kejohanan denai paling berprestij dunia, Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) Final di Chamonix pada penghujung Ogos ini bagi jarak 172 kilometer. 

Pengurus pasukannya meletakkan sasaran tinggi buat Daved untuk menembus kedudukan Top 30 dunia.

Menariknya, kamus hidup Daved tidak mengenal erti rehat apabila beliau mengesahkan bakal turun beraksi lagi dalam perlumbaan sejauh 35 kilometer di Sabah pada 25 hari bulan ini. 

Dengan gelaran juara CULTRA di tangan, Daved kini bersedia sepenuhnya untuk mengibarkan jalur gemilang di puncak Chamonix!