Aksi Harimau Malaya belum ada penyiar rasmi, penyokong harap ada berita gembira

231

Bahang saingan Piala Hyundai AFF 2026 semakin terasa apabila skuad Harimau Malaya dijadualkan membuka tirai Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon pada Sabtu ini. 

Namun disebalik keterujaan ramai, timbul sedikit tanda tanya dalam kalangan penyokong tempatan mengenai saluran siaran langsung perlawanan tersebut di tanah air.


Berdasarkan senarai rasmi penyiar “Where to Watch” kejohanan yang dimuat naik baru-baru ini, ruang bagi Malaysia dilihat masih kosong tanpa sebarang senarai stesen televisyen atau platform penyiaran tempatan.

Perkara ini berbeza dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura, dan Vietnam yang sudah pun mengesahkan saluran rasmi masing-masing bagi memudahkan peminat menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka.

Meskipun status hak penyiaran tempatan masih belum dimaklumkan secara rasmi, senario perundingan hak siaran sukan terutamanya pada saat-saat akhir sebelum sepak mula bukanlah sesuatu yang asing.

Rata-rata penyokong bola sepak tanah air di media sosial tetap kekal optimis dan bersikap positif. 

Mereka percaya pihak berkaitan dan penyiar tempatan sedang berusaha sebaik mungkin di sebalik tabir untuk mencetuskan ‘keajaiban’ demi membawa aksi Harimau Malaya terus ke kaca TV serta peranti peminat.

Apa-apa pun, sokongan padu seluruh rakyat Malaysia tetap mengiringi langkah skuad negara di Myanmar. 

Kini, seluruh peminat bola sepak tempatan bersatu hati mendoakan agar isu penyiaran ini dapat diselesaikan segera supaya sorakan ‘Demi Malaysia’ dapat bergema serentak dari segenap pelosok tanah air pada Sabtu ini!