Sim racing bukan lagi pilihan, ia keperluan – Alex Yoong

77

Kejohanan Malaysia Touring Car Championship yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 24 hingga 26 Julai menyaksikan dominasi memukau daripada pasukan Axle Sports. 

Bukan sekadar meraih kemenangan di litar, pasukan yang diterajui bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong, terus membuktikan bahawa pendekatan pembangunan bakat mereka kini membuah hasil yang lumayan.


Alex yang ditemui selepas tamat perlumbaan Toyota GR Vios Challenge tidak dapat menyembunyikan rasa bangga atas pencapaian para pelumbanya terutamanya pelumba muda dari India, Aditya.

“Aditya ialah pemandu muda dari India yang sangat berpotensi dan tekun. Kelajuan memang sentiasa ada, cuma sama ada kita boleh menggabungkannya dengan race craft atau tidak. Setiap kali dia memandu bersama kami, dia sentiasa menunjukkan peningkatan yang besar,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Kejayaan Axle Sports tidak terhenti di situ sahaja kerana pasukan berkenaan turut menyaksikan persembahan cemerlang daripada Ethen yang mencatatkan kemenangan berturut-turut, manakala Nabil berjaya menamatkan saingan di tempat kelima bagi kategori Super Sporting

Dalam pada itu, gandingan pemandu amatur Gen dan Raja turut memberikan saingan sengit menerusi jentera Suzuki Swift dalam kategori MT-1600.

Bagi Alex, setiap keputusan sama ada baik atau buruk ia adalah satu proses pembelajaran yang tiada garisan penamatnya. 

“Tiada garisan penamat untuk perkara ini buat masa sekarang. Setiap perlumbaan, walaupun anda melalui perlumbaan yang teruk, kami ambil perkara positif, ambil pengajaran yang ditimba, dan mengaplikasikannya dalam perlumbaan seterusnya.”

Sementara itu, bercakap mengenai falsafah Axle Sports yang giat menyerap pelumba simulasi ke litar sebenar, Alex menegaskan bahawa sim racing kini bukan lagi sekadar hobi, sebaliknya merupakan satu keperluan mendesak buat sukan permotoran negara.

“Bagi negara seperti Malaysia, ia adalah satu keperluan. Kita perlukan sim racing. Kita tiada sumber, kita tiada kemudahan dan kita hanya ada satu litar di negara ini. Adalah mustahil untuk melatih seorang pemandu sehingga ke tahap yang baik melainkan anda menggunakan sim racing. Saya fikir ia boleh menjadi pengubah keadaan.”

Bukan sahaja fokus kepada pemandu, Axle Sports turut komited membangunkan modal insan di balik tabir termasuk jurutera dan mekanik tempatan. 

Selepas berjaya membina asas yang kukuh di peringkat akar umbi, sasaran utama pasukan kini adalah untuk mengekalkan momentum dan membudayakan kemenangan secara konsisten.