Kelantan Muaythai Championship: Dari gelanggang tempatan ke pentas dunia!

123

Sukan Muaythai di Kelantan kini melangkah ke satu era baharu dengan kehadiran Kelantan Muaythai Championship tampil bukan sekadar kejohanan biasa untuk mencari siapa yang paling jagoan di dalam gelanggang, sebaliknya membawa misi besar untuk membina ekosistem Muaythai yang profesional, tersusun, dan berdaya saing dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.

Kelantan sememangnya terkenal dengan sejarah dan budaya Muaythai yang cukup kuat.


Menyedari potensi besar ini, kejohanan tersebut diwujudkan sebagai platform dinamik untuk mencungkil bakat baharu serta memberikan pendedahan persaingan sebenar buat atlet seluruh negara.

Marathon 100 Pertarungan Amatur: Pencarian Bintang Masa Hadapan

Satu keistimewaan utama kejohanan ini adalah penganjuran 100 pertarungan amatur melibatkan 200 atlet yang akan beraksi pada sebelah siang, sebelum disusuli perlawanan profesional pada sebelah malam.

Pendekatan ini memberi ruang luas kepada atlet muda merasai suasana pertandingan profesional, sekali gus membina keyakinan dan rekod pertarungan mereka. 

Antara nama yang menjadi tumpuan termasuklah Danial PLNK, iaitu atlet muda di bawah seliaan Wadi Sri Payung yang merupakan seorang jurulatih dan bekas peninju veteran Kelantan yang pernah beraksi di Thailand. 

Selain itu, Kudin Kuntat Raja Jerung yang merupakan peninju veteran Kelantan serta antara pelopor awal negara yang pernah mencipta nama di peringkat tempatan dan antarabangsa turut mencuri tumpuan.

Penglibatan figura veteran ini amat penting sebagai jambatan pendedahan buat atlet baharu untuk menimba ilmu dan inspirasi daripada mereka yang telah mencipta nama.

Sukan Membina Disiplin Belia & Ekosistem Industri

Lebih daripada sekadar sukan tempur, Muaythai menerapkan nilai disiplin, keberanian, ketahanan mental, serta sikap saling menghormati. 

Kejohanan yang tersusun ini memberi sasaran jelas buat belia tempatan untuk berlatih, sekali gus memanfaat masa muda mereka ke arah perkara yang positif.

Di samping itu, Kelantan Muaythai Championship turut memacu pertumbuhan industri sukan dan ekonomi tempatan menerusi konsep pelancongan sukan (sport tourism). 

Kehadiran ratusan atlet, jurulatih, pegawai, dan penyokong dari luar memberi impak ekonomi secara langsung menerusi limpahan rezeki kepada pengusaha hotel, kedai makan, perkhidmatan pengangkutan, serta perniagaan tempatan. 

Selain itu, kejohanan ini juga membuka peluang kerjaya dengan membina ekosistem menyeluruh yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk pakar fisioterapi, pegawai perubatan, pengadil, pengamal media, hingga ke pihak penaja.

Menuju Pentas Antarabangsa

Melihat kejayaan kejohanan-kejohanan lain sebelum ini, Kelantan juga berhasrat untuk meletakkan negerinya dalam kalendar utama Muaythai rantau ini.

Kelantan Muaythai Championship komited untuk terus membentuk dan melahirkan generasi juara.

Daripada sebuah gelanggang tempatan, lahirnya inspirasi yang bakal mengangkat nama Malaysia ke persada dunia!