Brooks Marathon Kuala Lumpur 2026 bakal gegar Sepang

136

Brooks Malaysia secara rasminya melancarkan Brooks Marathon Kuala Lumpur 2026, sebuah acara maraton flagship berteraskan prestasi yang bakal berlangsung di PX, Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 20 September 2026. 

Penganjuran baharu ini dibawakan khas untuk menetapkan penanda aras tinggi bagi larian jarak jauh serta memantapkan lagi komuniti pelari yang kian berkembang pesat di Malaysia.


Sasaran awal edisi sulung ini amat memberangsangkan dengan kehadiran 7,000 pelari tempatan dan antarabangsa dari lebih 30 buah negara, sebelum melangkah lebih jauh untuk menarik melebihi 10,000 peserta menjelang tahun ketiganya. 

Langkah berani ini secara tidak langsung meletakkan Brooks Marathon Kuala Lumpur sebagai salah satu acara larian terkemuka di rantau Asia Tenggara, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan sukan.

Bagi memenuhi kehendak setiap lapisan pelari, tiga kategori utama ditawarkan. Pelari pemula dan rekreasional boleh memulakan langkah menerusi kategori 10KM, manakala mereka yang mahu mencabar keupayaan diri boleh menyertai 21.1KM Separuh Maraton. 

Bagi pelari tegar yang dahagakan ujian ketahanan fizikal dan mental tertinggi, kategori 42.2KM Maraton Penuh sedia menanti.

Menariknya, penganjuran ini lebih daripada sekadar larian satu hari. Ia merupakan satu pergerakan (movement) larian sepanjang tahun yang penuh dengan aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, dan latihan. 

Bermula Jun 2026, kempen peringkat kebangsaan akan mula menerusi siri jelajah di empat pusat membeli-belah utama iaitu MyTOWN Shopping Centre, Sunway Pyramid, The Starling Mall, dan IOI City Mall. 

Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti interaktif seperti percubaan kasut di atas treadmill, pameran teknologi kasut prestasi terkini Brooks, klinik larian, serta cabaran khas yang menawarkan tawaran promosi dan cabutan bertuah.

Sokongan padu terhadap komuniti turut diterjemahkan melalui kerjasama berterusan bersama kelab larian, universiti, dan badan korporat. 

Sesi bulanan Brooks Run Club, ujian kasut bersama kelab larian, serta larian santai komuniti sebelum minggu perlumbaan direka khas untuk membimbing peserta berlatih dengan lebih bijak. 

Apabila hari perlumbaan tiba, para pelari bakal dimanjakan dengan pengalaman premium termasuk kemudahan ruang pemulihan khas Duta, zon khemah korporat dan kelab larian, serta pelbagai promosi eksklusif. 

Kemuncak acara ini bukan sahaja meraikan pencapaian peribadi dan semangat kesukanan, malah menyatukan seluruh jiwa pelari dalam satu gerakan berteras kecemerlangan.