Kami tidak sabar untuk beraksi di Johor – Xabi Alonso

113

Pentas bola sepak tempatan bakal menyaksikan satu detik bersejarah pada malam Ahad, 9 Ogos 2026 jam 8:00 malam, apabila gergasi Premier League, Chelsea FC, dijadualkan menentang gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim. 

Perlawanan julung kali ini mempertemukan dua kelab juara daripada latar belakang budaya bola sepak yang berbeza.


Aksi di Johor ini merupakan destinasi penutup buat skuad The Blues dalam siri Jelajah Pra-Musim APAC 2026. 

Sebelum tiba di Malaysia, anak buah Xabi Alonso telah mengharungi perlawanan sengit menentang Juventus di Hong Kong serta dijadualkan menentang AC Milan di Jakarta bagi memantapkan kecergasan pemain seperti Danny Welbeck, Geovany Quenda dan Joao Pedro menjelang kempen Premier League 2026/27.

Pertemuan ini turut mencuri tumpuan menerusi pertembungan dua pengendali dari Sepanyol, Xabi Alonso di kem Chelsea dan Xisco Munoz di barisan kejurulatihan JDT.

Alonso meluahkan keterujaannya untuk beraksi di Johor selepas melihat sokongan hangat penyokong Asia Pasifik sepanjang jelajah.

“Perkara yang paling menggembirakan ialah ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, kami sentiasa menerima sokongan daripada para penyokong. Saya mengenali beberapa individu daripada Johor Darul Ta’zim, termasuk Luis Garcia, dan kami tidak sabar untuk beraksi di Johor,” kata Alonso.

Bagi pengendali JDT, Xisco Munoz, perlawanan ini bukan sekadar ujian di atas padang, malah platform penting untuk menaikkan jenama JDT di persada antarabangsa.

“Berdepan kelab seperti Chelsea merupakan peluang yang amat baik untuk pemain-pemain dan kelab kami… Kami amat menghormati segala pencapaian mereka, namun kami akan menghadapi perlawanan ini dengan penuh keyakinan dan cita-cita untuk mempamerkan aksi terbaik,” jelas Muñoz.

Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll, menganggap pemilihan Malaysia sebagai lokasi penutup jelajah membuktikan reputasi negara yang semakin kukuh dalam menganjurkan acara sukan antarabangsa bertaraf dunia.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pertembungan elit ini secara langsung, tiket perlawanan dibawakan oleh Rakan Pengalaman Rasmi, Tatler, dan kini boleh dibeli menerusi Tickethotline.com.my.

  • Kategori D: RM 154
  • Kategori C: RM 254
  • Kategori B: RM 454
  • Kategori A: RM 654
  • VIP: Sehingga RM 1,254