Liga A1 Semi-Pro 2026/27 utamakan kualiti pasukan – Raimi Fakri
Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menegaskan komitmen AFL untuk terus memartabatkan kualiti saingan Liga A1 Semi-Pro bagi musim 2026/2027 menerusi penambahbaikan yang dilaksanakan demi memastikan saingan musim baharu ini berjalan lebih lancar dan kompetitif.
Menurut Raimi, berbeza dengan musim lalu yang menyaksikan penyertaan 16 pasukan, saingan musim baharu ini ditapis secara ketat sehingga menetapkan 14 pasukan sahaja.
Langkah ini diambil berasaskan semakan belanjawan, ketetapan dokumentasi, dan rekod prestasi kelab demi mengelakkan isu penarikan diri pasukan di saat-saat akhir.
“Berdasarkan senarai yang ada, kita yakin peristiwa yang sama itu tidak berulang kembali,”
tegasnya.
Dalam pada itu, Raimi berkata bagi meningkatkan mutu taktikal dan profesionalisme kelab, pihak AFL turut menguatkuasakan syarat kelayakan ketua jurulatih berkelayakan Pro A Diploma secara menyeluruh bagi semua pasukan bersaing, dengan pengecualian khas hanya dipertimbangkan bagi pasukan baharu.
Transformasi saingan ini daripada liga amatur kepada status Semi-Pro sejak dua musim lalu terbukti memberikan impak yang amat positif.
Pentas Liga A1 kini bukan sahaja menjadi tempat pilihan pemain berkualiti untuk meningkatkan prestasi, malah penglibatan pasukan berstatus reserve turut menyemarakkan persaingan.
“Bila kita mula Semi-Pro, kita nampak lebih ramai pemain berkualiti dan selesa berada di Liga A1 sebagai tempat persediaan mahupun memperbaiki prestasi.”
Sementara itu, dengan syarat pengurusan yang lebih ketat serta fokus kepada kualiti permainan, saingan Liga A1 Semi-Pro Musim 2026/2027 dijangka terus berfungsi sebagai ‘kilang’ utama yang melahirkan bakat-bakat baharu untuk skuad kebangsaan.