Genting lebar sayap pelancongan sukan menerusi China Hainan Junior International Golf Tournament
Resorts World Genting terus menunjukkan komitmen dalam memartabatkan industri pelancongan sukan (sports tourism) tanah air menerusi penganjuran julung kali China Hainan Junior International Golf Tournament – Malaysia Leg 2026 yang akan berlangsung di Resorts World Awana dari 13 hingga 15 Ogos ini.
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan seramai 120 pemain golf muda dari pelbagai negara termasuk Malaysia, China, Singapura, dan India.
Menerusi pertandingan ini, para bakat cilik berusia antara enam hingga 18 tahun akan bersaing dalam empat kategori umur bagi merebut gelaran juara serta naib juara, sekali gus mengesahkan tiket ke Hainan Junior Golf Tour Finals di China.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Hubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee, mendedahkan bahawa kerjasama strategik ini merupakan satu langkah besar untuk menyokong usaha kerajaan dalam menarik lebih ramai pelancong antarabangsa menerusi penganjuran acara sukan berskala antarabangsa.
“Kami percaya acara seperti ini bagus untuk pelancongan sukan. Pihak kami dapat membantu kerajaan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita, khususnya di Resorts World Genting dan Awana, jika kita memperbanyakkan lagi acara sukan dalam kalendar tahunan,”
ujarnya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, penganjuran ini juga menjadi pentas terbaik untuk memperkenalkan semula Awana Golf Course yang baru sahaja dinaik taraf dan dilancarkan semula.
Padang golf berkenaan sentiasa menjadi pilihan utama pemain tempatan serta antarabangsa berikutan lokasinya yang berhampiran Kuala Lumpur dan berudara nyaman.
“Awana Golf mmg dikenali sebagai padang yang digemari pemain kerana cuacanya dan dekat dengan Kuala Lumpur. Kami baru sahaja melancarkannya semula selepas ditambah baik dan percaya ia bukan sekadar venue pertandingan, tetapi tempat untuk pemain menikmati resort kami.”
Sementara itu, selain sukan golf, Genting turut membuktikan ketangkasannya dalam menyokong pelbagai disiplin sukan lain termasuk penajaan atlet sukan permotoran negara Hakim Danish, persediaan penganjuran kejohanan e-sukan pada September depan yang menawarkan slot ke Jerman, serta sokongan padu buat saingan Le Tour de Langkawi (LTdL).
“Kami bukan hanya tempat untuk pelancong, tetapi turut menyediakan platform bagi anak-anak muda menjayakan kerjaya mereka dalam bidang sukan masing-masing. Sekiranya peminat sukan percaya kami boleh menjadi hos untuk lebih banyak acara, sila hubungi kami.”