Melangkaui Golf: Kerjasama SportExcel-Hainan makin kukuh, teroka sukan lain
Penganjuran kejohanan China Hainan Junior International Golf Tournament – Malaysia Leg 2026 yang bakal berlangsung di Resorts World Awana dari 13 hingga 15 Ogos ini menjadi bukti kukuh keutuhan jalinan kerjasama antarabangsa dalam arena golf pembangunan.
Pusingan edisi Malaysia ini dianjurkan oleh Hainan Golf Association dengan kerjasama SportExcel Malaysia dan Eagle & Birdies Golf Junket Sdn Bhd.
Kejohanan berprestij ini menghimpunkan seramai 120 pemain golf junior berusia enam hingga 18 tahun dari Malaysia, China, dan lapan negara lain untuk bersaing dalam empat kategori umur.
Selain merebut kejuaraan, juara dan naib juara bagi setiap kategori bakal membawa cabaran negara ke Hainan Junior Golf Tour Finals di China.
Pengarah Eksekutif SportExcel Malaysia, Sivanandan Chinnadurai, menegaskan bahawa pendedahan di padang mencabar seperti Resorts World Awana serta kejohanan luar negara amat penting untuk membentuk ketahanan mental dan fizikal para pemain.
“Pendedahan antarabangsa ini amat penting untuk menguji cabaran berlainan. Contohnya di China, dengan suhu sejuk dan angin kencang, keadaan padang amat berbeza. Jika mahu naik ke tahap antarabangsa yang berjaya sama ada amatur atau profesionalprogram pendedahan begini amat kritikal,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Sivanandan turut memaklumkan bahawa hubungan diplomasi sukan antara SportExcel dan Hainan Golf Association yang terbina sejak 2016 kini semakin berkembang melangkaui sukan golf, termasuk potensi memperluas program pertukaran atlet bagi sukan-sukan lain.
“Hubungan kami sangat cemerlang dan terus kukuh. Saya menjangkakan program ini dan projek-projek lain akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang, malah wakil dari China turut menyuarakan minat untuk meluaskan kerjasama ke sukan lain.”
Mengulas mengenai perancangan jangka panjang SportExcel selepas lebih tiga dekad ditubuhkan, Sivanandan mengakui Malaysia tidak kekurangan bakat di peringkat akar umbi (grassroots).
Namun, jurang utama yang perlu diperbaiki berbanding negara seperti Thailand dan Korea Selatan adalah pada fasa junior elite, terutamanya dari segi latihan mental serta pendedahan pertandingan di peringkat lebih tinggi seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.
“Bakat memang ada, tetapi program di peringkat junior elite perlu lebih berkesan. Di peringkat akhir, aspek mental yang menjadi penentu utama. Sebab itu SportExcel mahu berusaha mengumpul lebih banyak dana bagi memberi pendedahan antarabangsa berkualiti tinggi, khususnya buat pemain tier 2 dan tier 3.”