Atasi Malaysia 2-0 di Cheras, Kim Sang-sik tegaskan misi Vietnam belum selesai
Kejayaan Vietnam menundukkan Malaysia 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras langsung tidak meletakkan ketua jurulatihnya, Kim Sang-sik, dalam zon selesa.
Walaupun meraih bekalan selesa hasil kerja keras pasukan dan ketajaman pemain terbaik perlawanan, Nguyen Xuan Son, pengendali kelahiran Korea Selatan itu menegaskan bahawa perjuangan mereka untuk melangkah ke pentas akhir masih belum muktamad.
“Ia adalah perlawanan yang sukar, tetapi kita menang 2-0. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain atas kerja keras mereka. Mengenai tempahan tiket ke pentas akhir, saya langsung tidak berasa yakin lagi kerana bagi saya separuh masa pertama baru sahaja selesai,”
katanya.
Tambahnya, tumpuan penuh kini diberikan kepada analisis kelemahan taktikal dan kelancaran proses pemulihan fizikal pemain sebelum berdepan aksi timbal balik di Hanoi.
Dalam pada itu, pada perlawanan tersebut turut menyaksikan ketajaman Nguyen Xuan Son yang meledak gol penting menerusi hantaran lintang rakan sepasukan di dalam kotak penalti.
Penyerang berbisa itu meluahkan rasa teruja kerana dapat memberikan impak segera walaupun terpaksa berdepan pertarungan fizikal yang sengit dengan barisan pertahanan lawan.
“Sebagai seorang penyerang, saya sentiasa bersedia dan hanya memerlukan satu saat serta hantaran yang tepat. Kawasan petak penalti adalah kekuatan terbaik saya, dan jika bola sampai ke situ, saya yakin boleh menjaringkan gol. Sasaran saya hanya satu iaitu mengekalkan prestasi ini demi membawa pulang trofi buat semua penyokong.”
Sementara itu, selain ketajaman jentera serangan, Sang-sik turut memberikan pujian khusus kepada penjaga golnya, Patrik Le Giang, yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya untuk memastikan gawang Vietnam tidak dibolosi sepanjang 90 minit perlawanan.
Beliau menyifatkan komunikasi cemerlang Patrik bersama barisan pertahanan sebagai kunci utama kekebalan benteng pasukan.
Dengan kelebihan dua gol di tangan, kem Vietnam bertekad untuk memperbaiki segala kelemahan dan mempamerkan aksi yang jauh lebih mantap di hadapan penyokong sendiri nanti.