Road to Chamonix: Haddafi Hamidun bawa impian Malaysia ke pentas UTMB Finals

311

Bagi kebanyakan pelari denai, menjejakkan kaki ke Chamonix, Perancis untuk beraksi di pentas UTMB Finals bukan sekadar satu perlumbaan, sebaliknya impian yang lahir daripada bertahun-tahun latihan, pengorbanan dan perjalanan yang penuh liku.

Bagi atlet trail running Malaysia, Haddafi Hamidun atau lebih mesra disapa Dafi, peluang untuk beraksi di pentas berprestij itu akhirnya menjadi kenyataan selepas hampir lapan tahun membina karier dalam dunia larian denai.


Dafi, yang mewakili HOKA Malaysia, bakal berangkat ke Chamonix bagi menyertai acara UTMB Mont-Blanc yang berlangsung dari 24 hingga 30 Ogos, dengan beliau akan beraksi dalam kategori CCC (100 kilometer).

Bagi Dafi, kejayaan melayakkan diri ke pentas dunia itu membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar mengejar catatan masa atau kedudukan.

“Sejujurnya, perasaan itu susah nak digambarkan. Saya rasa teruja, bersyukur dan dalam masa yang sama macam tak percaya,”

katanya.

Perjalanan Dafi dalam trail running bermula pada 2018, ketika beliau masih belajar dan membina pengalaman secara perlahan-lahan seperti kebanyakan pelari lain.

Tiada laluan mudah kerana banyak perkara dipelajari sendiri, menerusi rakan-rakan, internet, pengalaman perlumbaan serta kesilapan yang akhirnya menjadi sebahagian daripada proses membentuk dirinya sebagai seorang pelari.

“Banyak belajar sendiri, rujuk kepada rakan-rakan, belajar dari internet, banyak buat silap dan banyak kali juga kena bangun semula selepas kecewa.”

Justeru, apabila berita kelayakannya ke UTMB Finals di Chamonix diterima pada Januari lalu, ia seolah-olah menjadi kemuncak kepada segala usaha yang dicurahkan selama bertahun-tahun.

“Bila dapat tahu saya layak ke UTMB Finals di Chamonix pada Januari lalu, saya rasa macam semua usaha selama bertahun-tahun itu akhirnya membawa saya ke satu tahap yang saya sendiri tak pernah bayangkan.”

Bukan sekadar perlumbaan

Dafi sedar pentas yang bakal dijejakinya bukan perlumbaan biasa. Chamonix bakal menghimpunkan antara pelari denai terbaik dunia, sekali gus menjadikan penyertaannya satu pengalaman yang cukup besar buat dirinya.

“Bagi saya, ini bukan sekadar pergi race di luar negara. Ini adalah hasil perjalanan hampir lapan tahun dalam trail running dan satu peluang untuk bawa nama penaja, komuniti dan negara ke salah satu pentas terbesar dalam dunia trail running.”

Menjelang perlumbaan, persiapannya kini sudah memasuki fasa terakhir dengan fokus bukan lagi untuk menambah beban latihan, tetapi memastikan segala aspek berada pada tahap terbaik.

Kecergasan perlu dikekalkan, tubuh dan kaki perlu cukup segar, tidur serta pemulihan perlu diberi perhatian, manakala kelengkapan perlumbaan perlu diperiksa satu persatu.

Dari segi emosi pula, Dafi mengakui keterujaan mengatasi rasa gemuruh, walaupun tekanan untuk beraksi di pentas dunia tetap dirasai.

“Memang lebih teruja daripada gemuruh. Tapi tipu kalau saya kata tak nervous langsung. Bila kita tahu kita akan berlari di acara terbaik bertaraf antarabangsa, yang membariskan pelari terbaik dari seluruh dunia, memang ada pressure.”

Namun, beliau memilih untuk menukar rasa gementar itu menjadi tenaga positif.

“Saya cuba tukarkan rasa nervous itu kepada excitement. Saya nak sampai di Chamonix dengan mindset bahawa saya datang untuk menikmati pengalaman ini, tetapi pada masa yang sama saya akan beri yang terbaik dalam setiap kilometer.”

Persediaan hadapi cabaran Chamonix

Antara cabaran terbesar Dafi ialah menyesuaikan diri dengan keadaan muka bumi dan cuaca yang jauh berbeza daripada Malaysia.

Keadaan altitud tinggi, suhu lebih sejuk serta laluan yang mencabar tidak boleh ditiru sepenuhnya ketika menjalani latihan di tanah air.

Bagaimanapun, Dafi cuba memaksimumkan apa yang boleh dilakukan di Malaysia dengan menyertai perlumbaan di kawasan altitud tinggi seperti di Cameron Highlands selain meningkatkan jumlah latihan elevasi.

Latihan long climb dan long downhill turut diberi perhatian, selain latihan kekuatan bagi membantu tubuh bertahan selepas berjam-jam berada di laluan perlumbaan.

“CCC bukan sekadar tentang kemampuan mendaki, tetapi bagaimana kita masih boleh bergerak dan mengurangkan risiko kecederaan selepas berjam-jam berlari.”

Beliau juga akan tiba lebih awal di Chamonix bagi memberikan peluang kepada tubuh menyesuaikan diri dengan perubahan suhu, cuaca dan persekitaran sebelum hari perlumbaan.

100km, tiga negara dan 6,000 meter elevasi

Kategori CCC yang akan disertai Dafi bukan cabaran yang boleh dipandang ringan.

Perlumbaan sejauh 100 kilometer itu merentasi tiga negara, bermula di Courmayeur, Itali, melalui Champex-Lac, Switzerland, sebelum berakhir di Chamonix, Perancis.

Dengan jumlah elevasi sekitar 6,000 meter dan had masa keseluruhan 26 jam 30 minit, pengurusan tenaga menjadi antara kunci utama untuk memastikan misi menamatkan perlumbaan dapat direalisasikan.

Beliau tidak mahu terikut-ikut dengan pelari lain yang mungkin bergerak lebih pantas pada peringkat awal.

Sebaliknya, setiap kilometer perlu diurus mengikut strategi sendiri dengan perhatian khusus diberikan kepada pendakian, aspek keselamatan ketika menuruni bukit serta pengambilan nutrisi secara konsisten.

“Saya tak mahu terikut-ikut dengan pace orang lain hanya kerana mereka bergerak lebih laju. Saya nak ikut pelan saya sendiri, jaga climbing, keselamatan semasa downhill dan memastikan nutrisi sentiasa mencukupi.”

Dafi juga enggan terlalu terikat dengan sasaran kedudukan atau masa kerana baginya, tahap persaingan di Chamonix jauh berbeza dan tumpuan utama adalah untuk melaksanakan pelan perlumbaan dengan sebaik mungkin.

“Target utama saya adalah finish strong, execute race plan, mengumpul sebanyak-banyak ilmu dan pengalaman untuk rujukan rakan-rakan saya yang mungkin suatu hari nanti berpeluang ke sana dan menghabiskan larian dengan memberikan usaha yang terbaik.”

Nutrisi dan equipment jadi taruhan

Dalam perlumbaan ultra sejauh 100km, kecergasan sahaja tidak mencukupi. Pengurusan nutrisi dan kelengkapan juga penting, apatah lagi Dafi pernah berdepan masalah gastrik dan dehidrasi sebelum ini.

Justeru, beliau tidak mahu mencuba makanan atau minuman baharu ketika perlumbaan, sebaliknya kekal dengan nutrisi yang sudah biasa digunakan ketika latihan.

“Saya akan gunakan nutrition yang memang sudah biasa saya gunakan dalam training. Saya tak akan cuba benda baru di Chamonix.”

Pengambilan tenaga akan dilakukan secara konsisten, manakala aspek equipment turut diberi perhatian serius selepas pengalaman berdepan masalah headlamp sebelum ini. 

Setiap kelengkapan utama, termasuk peralatan mandatori dan backup, akan diperiksa bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perlumbaan.

Belasan ribu ringgit untuk sebuah impian

Di sebalik glamor pentas UTMB Finals, terdapat realiti yang perlu dihadapi oleh pelari denai tempatan iaitu kos yang tinggi.

Dafi mengakui kos keseluruhan untuk merealisasikan impian ke Chamonix mencecah belasan ribu ringgit, sesuatu yang hampir membuatkan beliau berputus asa pada peringkat awal.

Namun, sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, komuniti trail running dan individu tertentu akhirnya membantu membuka jalan.

Ada yang menyumbang wang, membantu mengumpul dana malah menyediakan makanan dan minuman untuk dibawa ke Perancis.

Pada masa sama, Dafi turut menerima sokongan daripada penaja seperti HOKA Malaysia, SUUNTO Malaysia, Big Big Place dan Upbound, khususnya dari segi peralatan dan nutrisi perlumbaan.

“Bagi saya, sponsorship bukan sekadar dapat kasut atau equipment. Yang lebih penting adalah kepercayaan mereka terhadap perjalanan saya.”

Menurutnya, kepercayaan tersebut amat bermakna kerana seorang pelari Malaysia yang mahu beraksi di pentas dunia memerlukan sokongan yang besar.

Tidak berlari seorang diri

Walaupun hanya seorang yang akan berada di laluan perlumbaan, Dafi melihat dirinya membawa sokongan keluarga, rakan-rakan dan seluruh komuniti trail running yang sentiasa berada di belakangnya, terutama ketika berdepan kecederaan, DNF (Did Not Finish) dan detik hilang keyakinan.

“Mereka tidak pernah berhenti percaya walaupun saya sendiri tidak percaya dengan kemampuan saya.”

Sokongan itu menjadi kekuatan buat Dafi menjelang perjalanannya ke Chamonix, kerana beliau merasakan dirinya bukan sekadar membawa peralatan perlumbaan, tetapi turut membawa doa dan harapan mereka yang sentiasa percaya kepadanya.

“Apabila saya pergi ke Chamonix nanti, saya bukan membawa diri saya seorang sahaja. Saya membawa doa dan sokongan daripada keluarga, rakan dan seluruh komuniti trail running di Malaysia.”

Hampir 30 pelari Malaysia ke Chamonix

Dafi dijadualkan berlepas ke Chamonix pada Jumaat, 21 Ogos dan dijangka kembali ke Malaysia pada 1 September.

Beliau memilih untuk tiba lebih awal bagi memberikan masa kepada badan menyesuaikan diri dengan cuaca, suhu dan keadaan persekitaran sebelum perlumbaan.

Menariknya, Dafi menganggarkan sekitar 30 pelari dari Malaysia akan berada di Chamonix dalam pelbagai kategori termasuk UTMB, CCC, OCC, ETC dan beberapa kategori lain.

Ia sekali gus menunjukkan perkembangan komuniti trail running Malaysia yang semakin berkembang dan berani mencabar pentas antarabangsa.

Mahu buka lebih banyak ruang untuk trail running Malaysia

Bagi Dafi, penyertaan di UTMB Finals bukan sekadar pencapaian peribadi. Beliau mahu perjalanan tersebut turut menjadi platform untuk membuka lebih banyak perhatian terhadap sukan trail running di Malaysia.

Beliau berharap suatu hari nanti sukan tersebut akan dilihat sebagai satu disiplin sukan yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara lebih serius.

“Bagi saya, ini penting kerana trail running bukan lagi sekadar aktiviti rekreasi. Di peringkat dunia, ia sudah berkembang menjadi satu sukan yang mempunyai komuniti dan persaingan yang sangat besar.”

Dafi percaya kehadiran pelari Malaysia di pentas seperti UTMB Finals membuktikan bahawa atlet tempatan mempunyai kemampuan untuk berada dalam kelompok pelari terbaik dunia.

“Penyertaan saya di UTMB Finals ini juga menjadi bukti bahawa pelari dari Malaysia mampu berada di pentas dunia dan bersaing dengan hampir 10,000 pelari dari seluruh dunia yang hadir ke UTMB.”

Namun, beliau mahu lebih banyak sokongan diberikan kepada pelari tempatan, bukan sekadar dalam bentuk penyertaan, tetapi merangkumi aspek kewangan, pembangunan atlet, fasiliti dan peluang untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

Bagi Dafi, jika kisah perjalanannya mampu memberi inspirasi kepada pelari baharu, ia sudah cukup bermakna.

“Tujuh tahun yang lalu, saya sendiri tak pernah terfikir akan sampai ke Chamonix untuk berlari dalam UTMB Finals.”

Pesanannya kepada pelari yang baru mahu bermula juga cukup jelas.

“Kita tak perlu bermula sebagai pelari hebat. Yang penting, kita terus belajar, terus berusaha dan jangan cepat give up.”

Malah, beliau mempunyai satu impian yang lebih besar daripada sekadar kejayaan dirinya sendiri.

“Kalau satu hari nanti ada pelari Malaysia lain yang tengok perjalanan saya dan berkata, ‘Kalau Dafi boleh sampai sana, mungkin aku pun boleh,’ bagi saya itu sudah cukup besar.”

Road to Chamonix

Akhirnya, perjalanan Dafi ke Chamonix bukanlah sesuatu yang bermula pada Ogos ini.

Ia bermula sejak beliau memilih untuk mencuba trail running pada 2018, melalui latihan yang panjang, perlumbaan yang mencabar, kecederaan, kegagalan, kejayaan, DNF serta sokongan daripada insan-insan yang tidak pernah berhenti percaya.

Kini, segala-galanya membawa Dafi ke satu pentas yang pernah dianggap terlalu jauh untuk dicapai.

“Road to Chamonix ini bukan bermula sehari sebelum race. Ia bermula daripada semua tahun, semua training, semua kegagalan, semua kejayaan dan semua kepercayaan mereka yang pernah membantu saya sepanjang perjalanan ini.”

Di Chamonix nanti, Dafi tidak meletakkan tekanan untuk membuktikan dirinya lebih hebat daripada sesiapa.

Sebaliknya, beliau mahu menikmati setiap kilometer, melaksanakan strategi yang dirancang, menyerap sebanyak mungkin pengalaman dan memberikan usaha terbaik sehingga ke garisan penamat.

Kerana bagi seorang pelari yang bermula dari bawah, sampai ke Chamonix itu sendiri sudah merupakan sebahagian daripada kemenangan.