Haiqal Hanafi masih berpeluang ke Sukan SEA walaupun tak layak

262

Agak mengejutkan apabila pelari pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi yang diramal akan mudah layak ke Sukan SEA Hanoi gagal melepasi had kelayakan baru-baru ini.

Walaupun Haiqal berjaya meraih pingat emas 100 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, namun beliau gagal melepasi kelayakan iaitu 10.52s apabila hanya berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 10.58s.


Tetapi pemenang pingat emas 100 meteri Sukan SEA Filipina itu masih lagi berpeluang untuk beraksi di Hanoi sekiranya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikannya untuk kategori B (perlu tanggung segala perbelanjaan sendiri).

Haiqal dijangka berkemungkinan besar akan disenaraikan kerana ketika ini hanya tiga pelari pecut negara saya yang layak bagi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) iaitu Muhammad Arsyad Md Saat, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Zulfiqar Ismail.

Jika KOM menyenaraikan Haiqal, beliau akan mungkin akan beraksi untuk 4×100 kerana ketika ini quartet negara kekurangan seorang pelari lagi.

Selain Haiqal, juara Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan juga gagal layak selepas menamatkan larian di kedudukan kelima dengan catatan masa 10.74s.

Dengan situasi semasa ketika ini KOM dijangka akan menyenaraikan Haiqal untuk melengkapkan skuad pelari pecut negara.

Bagaimanapun persoalan yang timbul adalah adakah beliau akan disenaraikan dalam kategori B atau A? Ini kerana jika beliau disenaraikan dalam kategori B, Haiqal perlu mengeluarkan kos yang besar untuk ke Hanoi.

Sekiranya beliau tidak mampu, Malaysia mungkin tidak akan mempunyai wakil dalam kategori kegemaran 4×100.

Namun jika KOM memberi kelonggaran dengan menyenaraikan dalam kategori A, pasti ramai yang ‘berang’ terutamanya atlet-atlet yang disenaraikan dalam kategori B.

Ketika ini sebanyak 22 atlet olahraga negara telah layak bagi acara masing-masing menerusi kategori A.

Bilakah Malaysia bakal melahirkan lebih ramai pelari pecut berkualiti kerana sehingga kini tiada seorang pun atlet pelari pecut negara yang mampu memadam rekod Watson Nyambek pada tahun 1998 di Terbuka Vietnam yang mencatat masa 10.0s.

Pada tahun 2016, Khairul Hafiz Jantan atau diberi jolokan The Flying Jantan dikatakan mampu menjadi pelari pecut negara terhebat sekaligus memadam rekod Watson apabila selepas berjaya meraih pingat ketika Sukma 2016.

Selain meraih pingat emas, beliau juga meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan menamatkan larian dengan catatan 10.18s.

Prestasi beliau bagaimanapun terus merosot dan sehingga kini masih belum mendapat momentum untuk mengekalkan prestasi terbaik beliau.

Selepas itu, muncul Haiqal Hanafi yang menjadi buah mulut ramai apabila meleburkan rekod Khairul Hafiz Jantan di Sukan SEA Filipina sekaligus mendapat jolokan Raja Pecut Baru Asia Tenggara.

Malangnya, beliau menerima nasib yang sama apabila prestasinya tidak konsistennya menyaksikan beliau gagal melayakkan diri ke Sukan SEA Hanoi.