Sinergi Dua Gergasi: Adidas x Selangor FC jalin kerjasama jangka panjang
Satu lipatan sejarah baharu tercipta dalam arena bola sepak tempatan apabila jenama sukan terkemuka dunia, Adidas, secara rasmi mengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama kelab gergasi Liga Malaysia, Selangor FC.
Majlis pelancaran jersi rasmi Adidas x Selangor FC yang berlangsung meriah di Sunway Pyramid pagi tadi menyaksikan penyatuan dua nama besar yang disifatkan sebagai kolaborasi paling sempurna.
Pengurus Negara (Country Manager) Adidas Malaysia, Preston Page, meluahkan rasa bangga atas gabungan penuh berprestij ini.
“Selama beberapa generasi, kepada peminat Adidas, ia merupakan satu perkahwinan atau kerjasama yang tidak mungkin menjadi lebih baik untuk kami. Dan relevannya di pentas global serta tempatan, saya fikir ini adalah kerjasama paling menakjubkan yang mungkin bagi jenama ini,”
ujarnya.
Mengulas mengenai tempoh jalinan kerjasama tersebut, Preston mengesahkan bahawa komitmen Adidas bersama Selangor bukannya untuk tempoh jangka pendek, sebaliknya merangkumi perjanjian berbilang tahun.
“Ya, ia adalah kerjasama jangka panjang dan itu adalah bahagian penting bagi kami untuk jalinan hubungan ini, membina sesuatu bersama sebuah kelab ikonik bagi tahun-tahun mendatang.”
Langkah ini penting bagi memastikan jenama berkenaan dapat membina legasi yang bermakna dan berpanjangan bersama skuad Red Giants.
Dalam pada itu, selain jersi Home dan Away yang telah diperkenalkan, Preston mengesahkan bahawa mereka akan turut melancarkan jersi ketiga (3rd kit).
“Ya, ada dan ia akan dilancarkan pada tahun ini, boleh dikatakan begitu, dan ia memang menakjubkan. Namun malangnya, disebabkan ia sangat sulit dan amat mengujakan, anda perlu menunggu beberapa bulan lagi untuk melihatnya.”
Harga bagi jersi rasmi Selangor FC home dan away telah ditetapkan pada kadar RM199.
Sementara itu, satu lagi fokus utama dalam kolaborasi ini adalah komitmen Adidas untuk turun ke padang dan mendekati komuniti tempatan.
“Sebahagian daripada kerjasama ini bukan sekadar menghasilkan jersi semata-mata. Ia adalah tentang bagaimana kita membina dua gergasi hebat ini, tetapi juga bagaimana kita bersatu ke dalam komuniti pada masa hadapan. Sama ada di peringkat akar umbi, masyarakat setempat, atau memasukkan lebih banyak elemen Malaysia ke dalam jersi.”