Fokus Lim You kekal nikmati permainan biarpun bakal ‘dirantai’ lawan

223

Tujuh gol yang dijaringkan Lim You ketika membelasah Arab Saudi 9-0 bukan sahaja mengesahkan tempat Malayan Tigress B-17 ke separuh akhir Srikandi Merdeka Cup 2026 menentang Thailand, malah meletakkan penyerang muda itu sebagai sasaran utama yang bakal ‘dirantai’ kawalan ketat pertahanan lawan.

Biarpun sedar tumpuan penuh Thailand kini terarah kepadanya, pemain yang berpangkalan di Washington ini enggan membiarkan tekanan menjejaskan fokusnya.


“Jujurnya ada sedikit tekanan, tetapi bola sepak adalah permainan yang sangat saya nikmati. Saya sentiasa teruja setiap kali melangkah ke dalam padang tanpa mengira sesiapa pun lawannya,”

katanya.

Lim You juga mendedahkan kelebihan kaki kirinya itu terhasil daripada latihan konsisten bersama bapanya sejak kecil.

“Sejak kecil, ayah kerap melatih kaki kiri saya kerana tidak ramai pemain berkaki kiri dan ia satu keistimewaan. Namun untuk tujuh gol itu, ia bukan kredit saya seorang kerana rakan sepasukan yang memberi hantaran dan saya cuma menyempurnakannya.”

Sementara itu, beliau yang hanya dapat pulang ke tanah air setiap dua hingga empat tahun sekali berkata peluang beraksi buat skuad negara amat bermakna buat dirinya biarpun terpaksa mengatasi kekangan bahasa.

“Saya sangat bersyukur dengan pengalaman ini. Pada mulanya agak sukar disebabkan saya kurang mahir Bahasa Melayu, tetapi saya teruja menjadi sebahagian daripada pasukan.” 

Kini, fokus utamanya hanya satu iaitu menikmati perlawanan separuh akhir dan membantu Malayan Tigress B-17 melangkah ke pentas final.