RM50,000, laluan AKLEH-SUKE & robot humanoid warnai Malaysia Marathon 2026

176

Penganjuran julung kali Malaysia Marathon 2026 yang dilancarkan di ibu kota pagi tadi bukan sekadar sebuah acara larian biasa, tetapi tampil membawakan kelainan luar biasa yang bakal mencabar mental dan fizikal ribuan peserta. 

Presiden Malaysia Marathon, Encik Eddy Casmady berkata, edisi sulung ini membariskan ganjaran lumayan serta kelainan logistik yang direka khas buat warga tempatan mahupun antarabangsa.


Salah satu daya tarikan utama yang disahkan beliau adalah tawaran ganjaran RM50,000 khas buat pelari elit tempatan yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 42 KM dan 21 KM. 

“Sebenarnya ini untuk memberi galakan dan dorongan kepada pelari-pelari elit, terutamanya rakyat Malaysia,” 

katanya.

Eddy turut menambah bahawa laluan larian ini telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada World Athletics.

Dalam pada itu, acara berprestij ini berjaya menarik penglibatan 25,000 peserta secara keseluruhan, termasuk lebih 2,300 pelari luar negara. 

Antara yang menjadi tumpuan ialah kehadiran pelari elit antarabangsa seperti 13 peserta dari Jepun dan tiga dari Nigeria, di samping kemunculan gimik unik robot humanoid daripada HONOR yang bakal berlari sejauh 10 KM sebelum pelepasan kategori utama.

Laluan acara yang bermula di Pavilion dan berakhir di KLCC ini turut menjanjikan cabaran fizikal yang hebat. 

Menerusi penggunaan Lebuhraya AKLEH dan SUKE, para pelari perlu berdepan laluan mendaki dan bagi memastikan kelancaran pergerakan ribuan peserta, Eddy optimis dengan perancangan rapi pasukan teknikalnya. 

“Walaupun kita Mula dekat Pavilion dan berakhir di KLCC, semuanya telah diatur dengan sebaik mungkin untuk kita menghadapi 25,000 peserta.”

Sementara itu, kelainan paling drastik pada penganjuran kali ini terletak pada masa pelepasan yang diawalkan berbanding marathon kebiasaan. 

Menurut Eddy, langkah ini diambil agar kebanyakan peserta dapat menamatkan larian sebelum masuk waktu Subuh dan terhindar daripada cuaca panas terik. 

“Satu kelainan, inilah trademark Malaysia Marathon. Saya nak semua peserta balik sebelum Subuh supaya isu solat di atas lebuh raya dapat dikurangkan, dan kita juga dah sediakan tempat solat yang cantik di depan KLCC.”

Dengan tempoh penamat (cut-off time) 7 jam 30 minute bagi kategori 42 KM, Eddy menyifatkan laluan yang diiktiraf ini sebagai medan latihan dan pemanas badan terbaik bagi pelari tempatan sebelum mereka beraksi di pentas kejohanan besar yang lain.