Di sebalik ‘hat-trick’ SUKMA Insyad Rumijam yang penuh air mata dan penderitaan
Di sebalik sorakan gemuruh dan wajah tenang di atas gelanggang, kejayaan atlet Muaythai Wilayah Persekutuan, Insyad Rumijam, merangkul pingat emas di SUKMA Selangor 2026 menyimpan kisah penderitaan yang jarang diketahui umum.
Pada usia 20 tahun, beliau rasmi memahat nama sebagai legenda sukan tempatan selepas mencatatkan sejarah unik, meraih pingat emas dalam tiga edisi SUKMA berturut-turut.
Beliau memulakan penguasaannya dengan meraih pingat emas bagi kategori 42kg hingga 45kg pada edisi 2022, sebelum meneruskan kecemerlangan menerusi pingat emas kedua dalam kategori 45kg hingga 48kg pada edisi 2024.
Kemuncak dominasinya terbukti apabila beliau melengkapkan kejuaraan hat-trick dengan merangkul pingat emas kategori 48kg hingga 51kg pada SUKMA 2026 selepas menundukkan pencabar terhebatnya, Raja Zaf, dalam aksi final yang cukup sengit.
Namun, kejayaan kali ini disifatkan sebagai yang paling sukar dan menguji ketahanan mental serta fizikalnya.
Sebelum melangkah ke gelanggang SUKMA 2026, Insyad terpaksa berdepan pelbagai dugaan kesihatan bertali-arus.
Kebimbangan turut menyelubungi persediaannya berikutan isu teknikal kesihatan badan dan kecederaan terdahulu, namun proses pemulihan intensif setiap hari selama sebulan akhirnya membolehkan beliau pulih 99% tepat pada waktunya.
“Perasaan Alhamdulillah, bangga gila-gila sebab saya adalah salah seorang atlet yang mencipta sejarah dekat Malaysia untuk SUKMA Muaythai. Ini antara SUKMA yang paling hard untuk saya.
Banyak ujian yang saya lalui sakit gigi bongsu, sakit dada, ada Influenza, asma, dan banyak kali pengsan. Tapi dengan kesabaran, Allah bagi kemenangan ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Air mata gembira dan sebak keluarga yang mengiringi kejayaannya di tepi gelanggang menjadi bukti penderitaan dan kebimbangan yang terpaksa ditanggung bersama sepanjang persiapan kejohanan ini.
“Bila kita keluar rumah, matlamat saya cuma satu iaitu nak dapatkan pingat emas. Untuk seterusnya, saya fokus Sukan SEA 2027 dan Insya-Allah kalau ada rezeki untuk main World Championship lagi sekali, itu adalah target kedua saya.”
Selepas menyempurnakan misi tiga edisi di peringkat domestik, Insyad kini mengalihkan pandangannya ke pentas yang lebih besar demi memburu kejuaraan antarabangsa seterusnya.
Impian tersebut nampaknya bakal menjadi kenyataan lebih awal apabila nama beliau kini secara rasminya tersenarai dalam panggilan atlet ke Kejohanan Muaythai Senior Dunia 2026.
Insyad telah dipilih untuk mengalas cabaran negara ke kejohanan bertaraf dunia itu yang bakal berlangsung di Kosovo dari 1 hingga 10 September 2026.