Bintang ONE Championship, Black Panther & Seksan bakal meriahkan Kelantan Muaythai Championship

112

Saingan arena sukan tempur tanah air bakal bertambah hangat apabila Kejohanan Kelantan Muaythai Championship mengesahkan penampilan istimewa dua bintang terkemuka dari pentas ONE Championship. 

Kehadiran dua petarung sensasi dari Thailand ini, iaitu Black Panther dan Seksan Or Kwanmuang, dijangka menyemarakkan lagi bahang kejohanan berprestij berkenaan sekali gus menarik tumpuan para peminat seni pertakulan tempatan mahupun antarabangsa.


Black Panther merupakan peninju muda dari Team Mehdi Zatout yang menjadi antara prospek paling berbahaya dalam divisyen flyweight ONE Championship. 

Dikenali dengan corak serangan pantas dan gaya pertarungan yang agresif, kehadiran beliau pasti memberi aura keterujaan luar biasa buat peminat yang mahu melihat kehebatan bintang serba boleh ini.

Turut mencuri tumpuan ialah penampilan legenda Muay Thai dunia, Seksan Or Kwanmuang. 

Terkenal dengan julukan “The Man Who Yields To No One”, peninju veteran ini merupakan pemegang empat kali gelaran Juara Dunia Muay Thai dengan gaya bertarungan berdarah panas yang tidak pernah berundur dan amat dihormati dalam arena sukan tempur global.

Penganjuran Kelantan Muaythai Championship yang mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta Persatuan Muaythai Malaysia dan Kelantan membuktikan komitmen tinggi dalam mengangkat mutu sukan ini. 

Kehadiran dua nama besar dari ONE Championship ini bukan sahaja menjadi daya tarikan utama, malah memberi peluang emas buat peminat tempatan merasai sendiri atmosfera sukan tempur bertaraf antarabangsa di bumi Kelantan.