Disiplin besi Afiq Syazwan demi pentas dunia IRONMAN 70.3
Malaysia bakal diwakili oleh 10 atlet berjiwa kental dalam kejohanan IRONMAN 70.3 World Championship 2026 di Nice, Perancis pada 12 hingga 13 September 2026.
Antara salah seorang wakil negara ialah Afiq Syazwan Mohd Shahru, yang berjaya melayakkan diri menerusi disiplin tinggi hasil rancangan teliti selama 11 bulan bersama jurulatihnya sejak IRONMAN Langkawi 2024.
“Target saya memang nak layak untuk race ini tahun lalu. Tapi masa dapat itu memang cukup gembira sebab rancangannya memang jalan,”
katanya.
Namun, di sebalik kejayaan itu, Afiq diuji masalah batu karang sebelum beraksi di Ironman 70.3 Desaru Coast.
Atas nasihat doktor, beliau melengkapkan perlumbaan tersebut sebelum menjalani pembedahan yang memaksanya berehat dari berlatih sepenuhnya selama tiga minggu.
“Ada hiccups sebenarnya sebab saya baru habis pembedahan hari itu. Tapi tiga minggu berhenti sebenarnya cukup bagus sebab kita dapat rehat dan rasa sedikit segar. Walaupun kesihatan jatuh, jantung sudah pulih.”
Dalam pada itu, mengulas mengenai apa yang dijangkakan pada perlumbaan di Nice nanti, Afiq mengakui laluan berbasikal akan menuntut ketahanan mental luar biasa kerana menyajikan kayuhan mendaki sejauh 35 kilometer.
“Nice ni memang kita semua tahu, ia tentang mendaki masa berbasikal itu. Awak hanya ada 10km rata, lepas itu 35km mendaki. Nak turun pun tak boleh tekan sebab berbahaya. Jadi memang kena kawal jantung, disiplin, dan ikut rancangan.”
Menyedari cabaran besar menantinya kelak, Afiq tidak meletakkan sasaran untuk cuba memecahkan rekod peribadi terbaiknya (PB) sebaliknya realistik untuk cuba menghabiskan perlumbaan di bawah lima jam.
Sementara itu, Afiq turut berkongsi mengenai jadual latihannya yang bermula seawal jam 3.30 pagi serta berlatih sebanyak tiga kali sehari.
Biarpun sibuk dengan latihan dan kerja hakiki, beliau tetap mengutamakan keluarganya.
“Masa kerja dan petang tak kacau. Selepas kerja, masa keluarga. Itu peraturan isteri saya.”
Afiq kini sedia mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia.