Aina Iwasaki sedia cabar kemampuan diri di Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Nice

276

Penampilan sulung yang membawa ke pentas dunia. Atlet triathlon wanita negara, Aina Iwasaki Muhammad Moritoshi, mengesahkan slot berprestij ke IRONMAN 70.3 World Championship 2026 di Nice, Perancis pada 12 hingga 13 September depan, sekali gus mengalas misi penting Malaysia di pentas tertinggi kejohanan tersebut.

Kisah kelayakan Aina cukup unik apabila beliau meraih tiket ke Kejohanan Dunia hasil penampilan sulungnya dalam perlumbaan IRONMAN 70.3 di Danang, Vietnam. 


Berjaya melangkah ke podium pada penyertaan pertama dengan rekod peribadi (PB) 5 jam 54 minit, Aina mengakui sempat berbelah bahagi sebelum menerima tawaran tersebut.

“Sebenarnya saya berlumba di Danang, Vietnam. Ia memang langsung tidak dijangka. Saya cuma berlumba sehabis baik dan sedar-sedar sahaja saya dapat naik podium. Peluang seperti ini sangat sukar didapati, jadi apabila ia berada di depan mata, saya buat keputusan untuk teruskan,” 

katanya.

Menjelang saingan di Perancis, Aina telah merangka program latihan khas yang merangkumi ketiga-tiga disiplin renangan, kayuhan berbasikal, dan larian. 

Walaupun mempunyai latar belakang yang kukuh dalam disiplin renang, beliau memberikan tumpuan lebih untuk mengukuhkan disiplin kayuhan dan larian demi mengimbangi tahap persembahannya di pentas antarabangsa.

Cabaran di Nice disifatkan amat menuntut ketahanan fizikal dan mental, terutamanya bagi disiplin berbasikal yang menyajikan ketinggian altitud (elevation) mencecah 1,500 meter sepanjang laluan 90 kilometer, disulami selekoh tajam dan pendakian berliku.

“Laluan di sana mempunyai altitud yang sangat tinggi. Bagi kayuhan berbasikal 90km sahaja sudah mencecah 1,500 meter elevation.

Di sebalik pendakian yang sukar pasti ada pemandangan yang indah, tetapi semasa laluan menurun nanti, saya cuma berdoa agar tidak terlalu gementar kerana ia menyajikan banyak selekoh tajam.”

Bagi Aina, penyertaan ini bukan sekadar mengejar catatan masa atau kedudukan podium semata-mata, sebaliknya satu perjalanan peribadi untuk melepasi had kemampuan diri sendiri di samping bersaing dengan atlet-atlet bertaraf dunia. 

“Sejujurnya, saya pergi ke sana dan bertanding sejauh itu bukan lagi soal catatan masa semata-mata. Ia lebih daripada itu. Nikmatinya dan lumba sehabis baik. Yang penting, bila saya melintasi garisan penamat, saya rasa puas.” 

Sementara itu, Aina berkata dirinya kini berada pada tahap keyakinan tertinggi dan tidak sabar untuk melintasi garisan penamat di Nice dengan rasa kepuasan yang sebenar.