Satu hati ke pentas dunia: IRONMAN raikan atlet ke Nice & Kona
Semangat kesukanan dan patriotisme berada di tahap tertinggi apabila seramai 12 atlet triathlon negara yang mengesahkan slot ke dua kejohanan paling berprestij di dunia diraikan dalam majlis Farewell Dinner for Malaysia’s IRONMAN World Championship-Bound Athletes.
Malaysia bakal diwakili oleh 10 atlet di IRONMAN 70.3 World Championship 2026 di Nice, Perancis pada 12 hingga 13 September depan, manakala dua atlet mengalas cabaran di IRONMAN World Championship 2026 di Kona, Hawai‘i pada 10 Oktober.
Pengarah Kanan Operasi Asia IRONMAN, CG Lim berkata, penganjuran majlis pelepasan (send off) yang kini memasuki tahun kedua berturut-turut ini bertujuan menghimpunkan semua wakil negara di bawah satu bumbung bagi membina jaringan dan saling bertukar pengalaman.
“Setiap tahun ramai peserta Malaysia yang layak, tapi jarang kita kumpulkan mereka di satu tempat untuk saling mengenal dan berkongsi pengalaman.
Bagi yang pernah layak sebelum ini, mereka boleh bagi tips kepada muka baharu. Bila pergi ke acara di luar negara, lebih baik kenal sesama sendiri supaya boleh tinggal di tempat yang sama atau pergi ke kawasan transisi perlumbaan bersama-sama,”
ujar CG Lim.
Sebagai tanda sokongan dan kebanggaan, setiap atlet dibekalkan dengan jersi khas berpasukan yang tertera perkataan ‘Malaysia’ di bahagian belakang serta Jalur Gemilang untuk dibawa ke pentas antarabangsa.
“Kami menyerahkan bendera Malaysia untuk dibawa ke acara Nations Parade, di mana semua wakil negara akan berarak di hadapan garisan penamat. Kami harap mereka semua berjaya, kekal selamat, dan menikmati perlumbaan ini sebagai sebahagian daripada pencapaian besar mereka.”
Dalam pada itu, mengulas mengenai potensi pencapaian negara, CG Lim menegaskan bahawa kelayakan ke Kejohanan Dunia adalah berdasarkan prestasi dan pencapaian cemerlang atlet, bukannya menerusi undian.
Beliau turut meluahkan rasa bangga melihat kebangkitan bakat baharu dari institusi pendidikan tinggi seperti Ahmad Dani Amir Fariz dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berjaya melayakkan diri buat kali pertama.
IRONMAN berharap pencapaian ini akan menyuntik semangat buat lebih ramai anak muda dan penuntut universiti untuk berani menyertai perlumbaan triathlon serta mengikut jejak langkah wira-wira negara di pentas dunia kelak.