Osama Alif unggul di TMT26, kini alih fokus cabar pelari elit di MY Ultra by UTMB

98

Sensasi baharu larian denai negara, Osama Alif Zainol Abiddin, terus mengukuhkan reputasinya sebagai ‘raja’ kategori bawah 30KM selepas mencatatkan kemenangan manis sebagai Juara 15KM Lelaki Terbuka di Tunggul Melati Trail 2026 (TMT26). 

Walaupun turun tanpa meletakkan sasaran podium, Osama tetap cemerlang melintasi garisan penamat dengan catatan masa pantas 1 jam 29 minit 24 saat.


Kejayaan di TMT26 ini disifatkan sebagai antara keputusan terbesar dalam keriernya, namun fokus utama Osama sebenarnya terarah kepada satu misi yang lebih besar minggu hadapan iaitu saingan di Malaysia Ultra Trail by UTMB.

“Perasaan semestinya gembira sebab ini boleh dikatakan antara keputusan terbesar saya. Cuma saya tak terlampau meletakkan sasaran tinggi sebab minggu depan ada sesuatu yang lebih besar iaitu MYUT. Apapun, memang gembira dengan kemenangan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Membawa status pelari pilihan, Osama mengakui beliau tidak meletakkan sebarang tekanan pada diri sendiri dan sekadar menyasarkan kedudukan tiga teratas bagi mengelakkan kecederaan sebelum MYUT. 

Dalam pada itu, menyentuh mengenai strategi larian di TMT26, cabaran utama bukanlah sekadar cuaca yang teramat panas, malah laluan curam yang licin serta kekeliruan trek turut menguji ketenangannya.

“Saya tahu ada dua bukit yang agak ‘tough’, tetapi laluannya masih boleh berlari. Cuma waktu menurun (downhill) kena berhati-hati sebab licin dan ramai yang jatuh.

Cabaran paling besar apabila saya tersilap jalan dekat kilometer ke-12 semasa downhill sewaktu mengejar pelari pertama. Mujur saya sempat patah balik, kejar semula, dan akhirnya menamatkan larian bersama-sama.”

Sementara itu, fokus Osama kini beralih sepenuhnya ke saingan MYUT di mana beliau bakal berdepan barisan pelari elit tempatan, termasuk nama besar seperti ‘Appu’.

“Untuk acara MYUT nanti, saya memang letak sasaran dan fokus lebih sebab ramai pelari elit yang akan turun. Sasaran utama saya di sana adalah untuk cuba bertahan rapat dengan Appu atau jika ada rezeki, cuba untuk menewaskan beliau.”