Piala FA: Selangor FC beraksi tanpa penyokong menentang Sabah FC
Harapan Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) untuk beraksi berteraskan sokongan padu penyokong sendiri dalam saingan Piala FA lebur selepas Mahkamah Timbang Tara menerusi Emergency Sole Arbitrator menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay) yang difailkan kelab berkenaan, semalam.
Keputusan yang diputuskan dalam pendengaran kecemasan di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 sekitar jam 5.00 petang itu menyaksikan rayuan Selangor tidak berjaya menyekat hukuman yang dikuatkuasakan serta-merta.
Ekoran keputusan ini, aksi suku akhir Piala FA musim 2026/2027 menentang Sabah FC di gelanggang sendiri pada 9 September ini mengesahkan Selangor wajib beraksi di dalam stadium yang kosong tanpa kehadiran sebarang penyokong.
Hukuman penuh berdisiplin ini berpunca daripada tindakan Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 15 November 2025 yang kemudiannya dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM pada 26 November 2025 ekoran insiden salah laku penyokong serta kegagalan dari segi penganjuran perlawanan.
Dalam pada itu, meskipun terpaksa akur menjelang aksi penting esok, pintu keadilan buat The Red Giants masih belum tertutup sepenuhnya.
Mahkamah Timbang Tara mengesahkan proses pendengaran penuh berhubung rayuan kes berkenaan masih sedia dijalankan mengikut prosedur dan tatacara timbang tara yang ditetapkan.
Ketiadaan ‘pemain ke-12’ di tempat duduk penonton pastinya menjadi ujian kualiti dan mentaliti sebenar buat skuad Selangor untuk mengekalkan fokus serta memburu kemenangan ke atas Sabah.