Isu pendaftaran & kuota pemain: MFL tepis dakwaan penyokong
Malaysian Football League (MFL) tampil meletakkan noktah terhadap pelbagai spekulasi selepas mengedarkan penjelasan rasmi berfakta bagi menjawab memorandum yang dikemukakan oleh sekumpulan penyokong Liga Malaysia.
Status Pemain Naturalisasi & Warisan Beralas Undang-Undang
MFL menegaskan bahawa pendaftaran pemain naturalisasi dan warisan sebagai pemain tempatan dibuat secara sah mengikut Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 (Perkara 4.5.9) serta Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT). Setiap pemain yang dipertikaikan terbukti memegang kad pengenalan warganegara Malaysia yang sah.
Langkah ini turut disokong oleh pekeliling rasmi MFL bertarikh 12 Jun 2025 serta mendapat pengesahan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John.
Tambahan 5 Kuota Pemain Tempat Menjamin Keadilan
Keputusan menambah lima kuota pemain tempatan bagi musim 2026-2027 dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas menerima permohonan Kuching City FC dan JDT.
Bagi memastikan keseragaman, MFL membuka tawaran kuota tambahan ini kepada semua kelab bertanding memandangkan jendela pendaftaran pertama masih dibuka sehingga 3 September 2026.
Kemelut KL City FC: Hadiah Kemenangan 3-0 Buat Negeri Sembilan & Kelulusan Khas
Mengenai Isu Kuala Lumpur City FC, MFL mendedahkan punca pembatalan perlawanan menentang Negeri Sembilan FC pada 22 Ogos lalu. Walaupun kelab itu memohon penangguhan akibat 13 pemain dijangkiti influenza, semakan sistem MyPAS mendapati KL City FC hanya sempat mendaftarkan 12 pemain akibat sekatan larangan perpindahan FIFA.
Ekoran kegagalan mendaftarkan syarat minimum 20 pemain sebelum sepak mula, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan:
- Kemenangan Percuma: Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata penuh.
- Hukuman Tatatertib: KL City FC dikenakan denda RM50,000 serta perlu membayar ganti rugi kos perlawanan.
Bagaimanapun, selepas KL City FC mengemukakan bukti penyelesaian tunggakan gaji FIFA pada 24 Ogos, MFL memberikan kelulusan khas untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 12 pemain bagi aksi menentang Kuching City FC pada 26 Ogos.
MFL menegaskan kelulusan khas ini dibuat mengikut pertimbangan fakta kes dan tidak sekali-kali mengusik peraturan asas pendaftaran liga.