Dari larian jalanan ke denai, Natahsya Soon dalam misi buru PB di Taiping

199

Meskipun baru sahaja setahun berjinak-jinak dalam dunia larian denai (trail running), atlet kelahiran Sabah, Natahsya Soon, kini bersedia membuktikan kehebatannya sekali lagi pada kejohanan Malaysia Ultra-Trail by UTMB di Taiping.

Gadis berusia 31 tahun ini bukanlah nama asing di laluan Taiping kerana pada edisi 2025, Natahsya mencuri tumpuan apabila berjaya menamatkan kategori MY50 di kedudukan ke-14 keseluruhan kategori wanita dengan catatan masa 9 jam 18 minit 32 saat, sekaligus meletakkan beliau sebagai antara pelari wanita tempatan terhebat.


Mengulas lanjut mengenai persediaannya bagi edisi kali ini, Natahsya mendedahkan beliau telah menyertai beberapa siri larian ultra mencabar seperti The Magnificent Baling, dan Cameron Ultra sebagai medan pemanas badan.

“Persiapan untuk Taiping tahun ini memang saya fokus menerusi beberapa acara ultra sebelum ini. Dari segi kelebihan, mungkin saya ada sedikit ‘advantage’ pada laluan jalan berturap (road) berbanding denai sebab sebelum masuk dunia trail tahun lepas, saya memang seorang road runner,”

kata Natahsya.

Dalam pada itu, Natahsya berkata memandangkan ini merupakan penyertaan keduanya di Taiping dan menggunakan laluan yang sama, beliau menetapkan sasaran peribadi yang lebih tajam untuk mengatasi catatan masanya sebelum ini.

“Tahun lepas saya tamatkan larian dalam masa 9 jam 18 minit. Untuk tahun ini, sasaran utama saya adalah nak ubah PB dan kalau ada rezeki, saya nak cuba buat catatan masa bawah 9 jam.”

Bercakap mengenai saingan sengit daripada kelompok pelari wanita yang lain, Natahsya memilih untuk kekal merendah diri kerana bagi beliau, statusnya yang masih ‘hijau’ dalam acara denai menuntutnya untuk fokus kepada kekuatan diri sendiri berbanding memikirkan tekanan daripada pesaing.

Sementara itu, mengulas mengenai aspek cuaca, Natahsya hanya berharap agar hujan tidak turun terlalu lebat pada sebelah malam bagi mengelakkan laluan trail menjadi terlalu becak dan sukar dikawal.

Dengan persediaan rapi serta kelebihan pada laluan berhalaju tinggi, tumpuan kini terarah kepada Natahsya Soon untuk melihat sejauh mana anak jati Sabah ini mampu memecahkan dominasi dan meleburkan rekod masanya sendiri di bumi Taiping!