Tangisan kelegaan Yutaro Yokouchi: Dari gagal di Thailand ke pentas juara Malaysia Ultra-Trail by UTMB

570

Air mata kelegaan mengiringi kejayaan atlet larian denai berasal dari Kobe, Jepun, Yutaro Yokouchi, apabila beliau dinobatkan sebagai raja baharu kategori MY100 pada kejohanan Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026.

Pelari berusia 33 tahun yang menetap di Tokyo ini mempamerkan larian bertenaga untuk menamatkan jarak 100 kilometer (KM) dalam tempoh 12 jam 18 minit 44 saat.


Kejayaan ini bukan sekadar sekeping pingat kejuaraan buat Yutaro, sebaliknya menjadi medan penebusan maruah yang sangat bermakna selepas mengalami kegagalan (Did Not Finish atau DNF) pada siri UTMB di Thailand, Mei lalu.

“Saya menangis sebaik melintasi garisan penamat kerana felt I gave everything (rasa dah berikan segalanya). Selepas DNF di Thailand bulan Mei lalu, saya hilang keyakinan pada diri sendiri untuk beberapa bulan. Akhirnya esoknya, saya berjaya bangkit dan memenangi gelaran ini,”

ujarnya.

Kemenangan julung kali bagi kategori 100KM ini tidak hadir dengan mudah. Yutaro mendedahkan beliau terpaksa bersaing sengit dengan pelari dari China sehingga kilometer ke-30 sebelum mula memecut meninggalkan kelompok hadapan.

Malah, beliau menyifatkan elemen vertical challenge pada awal larian serta laluan menurun (downhill) berturap simen di Taiping sebagai sangat ekstrem.      

“Permulaannya sangat gila! Kena mendaki sepanjang jalan hingga saya terpaksa berhenti beberapa kali. Laluan menurun pun gila sebab semuanya simen. Tapi secara keseluruhan.”

Selepas kejayaan di Taiping, Yutaro bakal beraksi di siri UTMB Chiang Mai sebelum memasang impian ke Chamonix. Namun bagi pelari elit ini, impian terbesarnya dalam dunia trail running adalah untuk menaiki podium di perlumbaan ikonik dunia, Western States.

Bagi melangkah lebih jauh, Yutaro sudah mengikat tekad untuk mencabar jarak yang lebih ekstrem iaitu 100 batu (miles) pada musim hadapan.