Laluan baharu MY13 dan MY25 dalam perancangan untuk Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2027

191

Penganjur Malaysia Ultra-Trail by UTMB kini sedang mempertimbangkan potensi untuk melaksanakan laluan baharu bagi kategori MY13 dan MY25 untuk edisi akan datang. 

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengasas merangkap Pengarah Perlumbaan, Ewegene Tan, susulan perbincangan awal bersama Pengarah Operasi Wilayah Kanan, CG Lim.


“Pagi tadi kami telah berbincang dengan Pengarah Operasi Wilayah Kanan kami, CG Lim. Kami sebenarnya sedang melihat potensi untuk melaksanakan laluan baharu bagi kategori 15K dan 25K untuk tahun hadapan,”

katanya.

Perancangan laluan baharu ini hadir susulan kejayaan cemerlang penganjuran edisi 2026 yang menyaksikan kadar penamat (finishers) melampaui 90 peratus daripada keseluruhan 2,900 peserta. 

Dalam pada itu, Ewegene berkata selain mendapat maklum balas positif daripada atlet antarabangsa yang memuji keunikan laluan Hutan Simpan Dara (Virgin Jungle Reserve), kejohanan ini turut mencatatkan peningkatan penyertaan pelari luar negara sebanyak 37.7 peratus. 

Faktor cuaca dan sokongan pelbagai pihak turut menjadi kunci utama kelancaran saingan kali ini. 

“Alhamdulillah, Allah SWT telah menentukan cuaca yang sangat baik, di mana ia memainkan peranan utama dalam kejayaan keseluruhan acara tahun ini. Selain itu, pasukan kami telah bersatu padu dan sokongan daripada pihak berkepentingan turut membawa perbezaan yang besar.”

Saingan kali ini turut melahirkan pencapaian membanggakan buat arena lari denai tempatan apabila Michelle muncul pelari Malaysia pertama yang layak ke World Finals selepas meraih tempat kedua keseluruhan bagi kategori 50KM. 

Sementara itu, Ewegene menyifatkan kejayaan itu sebagai “satu impian yang menjadi kenyataan.” 

Beliau turut mengesahkan kehangatan saingan bakal diteruskan menerusi Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2027 yang dijadualkan berlangsung pada minggu pertama September 2027. 

Melalui penganjuran berterusan di Taiping, beliau berharap ia dapat meninggalkan impak yang baik demi kemakmuran sosioekonomi penduduk tempatan serta sektor pelancongan negara secara keseluruhannya.